Dengan populasi seramai 3.9 juta penduduk dan hanya 60,000 orang sudah disaring, kerajaan Sabah mengakui sukar untuk menjangkakan tempoh yang akan diambil untuk negeri itu diklasifikasi sebagai zon hijau COVID-19.

Menteri di Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, begitu pun keadaan buat masa ini terkawal dengan 26 kes positif COVID-19 yang masih dirawat manakala jumlah kumulatif sebanyak 331 kes.

Katanya, berdasarkan keadaan semasa kerajaan negeri belum meletakkan sesuatu tempoh masa untuk merekodkan bilangan kes COVID-19 sifar.

"Hijau atau bukan hijau, sukar untuk memberikan jawapan tepat kerana sekiranya hari ini seseorang itu diuji negatif, tiada jaminan dia tidak dijangkiti pada hari lain.

"Ini kerana percampuran di dalam masyarakat. Kamu tidak tahu siapa di sebelah kamu yang mungkin tidak sihat atau mungkin sudah dijangkiti virus ini, ia mungkin berlaku.

"Jadi ia bukanlah soalan yang mudah untuk dijawab (bila Sabah akan bebas COVID-19) tetapi kita kena saling bantu-membantu antara satu sama lain. Jadi tidak mudah meletakkan tempoh masa kita bertukar kepada zon hijau," katanya pada Selasa.

Beliau berkata, Sabah mempunyai kemudahan rawatan COVID-19 yang terhad iaitu hanya enam hospital selain berhadapan kekurangan katil, antara faktor menyebabkan negeri itu memberi tumpuan terhadap usaha pencegahan dan kuarantin.

Tambah beliau, Sabah menerima 10,000 unit Kit Ujian Pantas Antigen atau Rapid Test Kit (RTK) Antigen daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan digunakan bagi tujuan penting sahaja seperti saringan di lapangan terbang dan dalam kes kecemasan.

Bagi jangka masa panjang, beliau berkata kerajaan negeri akan cuba mendapatkan bekalan tambahan daripada pembekal RTK Antigen berkenaan.

"Ia sangat penting kerana kita mampu mendapatkan keputusan ujian hanya dalam masa kira-kira 30 minit sahaja," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat Sabah sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan yang disarankan KKM yang menjadi kunci utama untuk negeri itu bebas wabak COVID-19.