KUCHING: Sarawak hari ini mencatatkan kes positif dan kes kematian tertinggi akibat COVID-19 di negeri itu dengan 3,747 kes harian baharu dan 15 kes kematian dilaporkan.

Bagaimanapun menerusi laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), 99.73 peratus bersamaan 3,737 kes daripada kes positif hari ini adalah daripada kategori 1 dan 2.

Kes kematian itu melibatkan pesakit dengan pelbagai komorbid berusia di antara 24 hingga  97 tahun menjadikan angka keseluruhan kes kematian di negeri itu meningkat kepada 564 kes.

“Manakala 0.53 peratus adalah pecahan kepada kategori 3, 4, dan 5 dengan keseluruhan sepuluh kes yang antaranya memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Kuching masih kekal mencatatkan empat angka kes dengan 1,311 kes dan kes selebihnya dilaporkan di 34 daerah yang lain di seluruh negeri,” jelas kenyataan itu pada Ahad.

Sementara itu, JPBNS turut mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 35 lokaliti selama 14 hari.

“Kawasan PKPD ini melibatkan sebanyak 22 rumah panjang, lima buah kampung dan beberapa kuarters pekerja, serta bilik sewa di 14 daerah antaranya Kuching, Bintulu, Sri Aman dan Serian,” katanya.