PUTRAJAYA:Satu kluster lagi baharu telah dikesan di Sabah, dikenali sebagai Kluster Kertang di daerah Kota Belud.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, sejumlah 216 individu telah disaring berikutan kewujudan kluster tersebut.

"Terdapat satu kluster baharu telah dikenal pasti pada hari ini melibatkan daerah Kota Belud di negeri Sabah.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-17623) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan kontak rapat pada 14 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di PPR Taman Seri Bayu, Kota Belud," katanya dalam sidang media harian berkaitan perkembangan COVID-19, hari ini.

BACA: COVID-19: 862 kes baharu, ini lima tumpuan sidang media KKM hari ini

Jelasnya, daripada saringan yang dijalankan itu, sebanyak 21 kes telah dikesan positif COVID-19 dan 195 individu pula didapati negatif.

Dalam pada itu, susulan peningkatan kes di Selangor, Dr Noor Hisham memaklumkan ia adalah berikutan kepadatan penduduk dan kadar pergerakan penduduk yang tinggi di negeri tersebut.

BACA: COVID-19: Kes di Selangor meningkat selepas kemasukan, kepulangan pengunjung dari Sabah

"Pada hari ini, Selangor mencatatkan pertambahan sebanyak 132 kes dan daripada jumlah itu, 84 kes adalah daripada kluster-kluster sedia ada termasuk lapan kes dari kluster yang berkaitan dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah," katanya.

Tambahnya, peningkatan kes penularan tempatan di Selangor mula dilihat pada 2 Oktober dan meningkat secara konsisten sehingga ke hari ini.

Sejumlah 26 kluster aktif dicatatkan di Selangor bermula kluster pertama iaitu Kluster Jalan Apas sehingga kluster terbaharu iaitu Kluster Hentian.