KUALA LUMPUR : Sektor pengilangan terus merekodkan jumlah jangkitan baharu tertinggi bagi kluster tempat kerja.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sehingga kini, sektor berkenaan telah mencatatkan 95,156 kes melibatkan 639 kluster.

Dalam masa sama, tegas beliau, terdapat 1,328 kluster tempat kerja dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan 624,246 individu telah disaring, manakala 147,040 orang telah dikesan positif COVID-19.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menggesa, tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja perlu dipertingkat berikutan kluster melibatkan premis-premis sedemikian masih mencatatkan rekod yang tinggi.

Beliau berkata, meskipun sebahagian besarnya melibatkan pekerja asing, namun, ia terus menjadi penyumbang kepada tercetusnya kluster baharu.

“Terdapat juga segelintir masyarakat yang hanya mengambil berat berkenaan pematuhan SOP apabila terdapat penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan.

“Kelekaan inilah yang banyak mengundang kepada peningkatan kes COVID-19 terutamanya di tempat kerja.

“Justeru, KKM berpendapat penguatkuasaan SOP di tempat kerja wajar dipertingkatkan dalam usaha untuk terus mengekang jangkitan COVID-19 khususnya melibatkan kluster-kluster di tempat kerja,” katanya menerusi kenyataan media pada Isnin.