Sektor perhotelan di Pahang telah mencatatkan kerugian kira-kira RM500 juta sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, sepanjang tempoh PKP, hotel tidak boleh beroperasi malah berlaku juga pembatalan tempahan penginapan.

"Justeru, ia menyebabkan menyebabkan hotel-hotel yang bertaraf tiga hingga lima bintang ini mengalami kerugian yang agak teruk.

"Sebab itu, boleh dikatakan, sektor perhotelan adalah industri yang paling terkesan dengan pandemik COVID-19 ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman pemenang bulan Februari Pertandingan Video Pendek Pahang Simply Awesome di Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Pahang, Datuk Idros Yahya dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar.

Mohd Sharkar juga mencadangkan kepada pihak MOTAC untuk melaksanakan Kempen Melawat Malaysia pada tahun 2022.

"Umum mengetahui bahawa MOTAC mengumumkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) dibatalkan susulan penularan COVID-19.

"Justeru saya cadangkan, kempen ini dilaksanakan semula pada 2022 bagi meningkatkan kembali sektor pelancongan di Malaysia. Rakyat juga digalakkan untuk melancong di dalam negara," katanya.