KUALA LUMPUR: Seorang individu didapati positif COVID-19 selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melaksanakan saringan ketiga ke atas 91 atlet, jurulatih dan kakitangan sokongan di Akademi Badmintion Malaysia (ABM) di Bukit Kiara semalam.

BAM dalam satu kenyataan hari ini berkata atlet dan pegawai yang berada di ADM akan terus berada dalam tempoh pengasingan kendiri menurut protokol kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara dan Institut Sains Sukan (ISN) sehingga diberitahu kelak.

Setiap orang di dalam BAM mendoakan kesemua atlet (terkesan) sembuh dengan segera," kata kenyataan itu.

Enam pemain di ABM disahkan positif COVID-19 pada 17 April, dan pada 23 April BAM mengesahkan lapan lagi pemain simpanan didapati positif jangkitan virus itu dalam saringan pada 20 April.

Kesemua 14 pemain yang didapati positif dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dengan empat daripada mereka dibenarkan pulang ke rumah semalam.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata tiada masalah kepada skuad senior kebangsaan untuk kembali berlatih pada Selasa (27 April) jika tiada lagi kes COVID-19 dilaporkan di ABM.

Skuad badminton negara, yang berhenti berlatih minggu lepas perlu kembali melakukan persiapan unutk Olimpik Tokyo yang dijadualkan pada Julai ini selain kejohanan-kejohanan lain yang menyumbangkan mata untuk melayakkan diri ke temasya sukan itu, antaranya Terbuka Malaysia dari 25 hingga 30 Mei dan Terbuka Singapura (1 hingga 6 Jun).

-- BERNAMA