MELAKA:Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Bekoh, Jasin dekat sini diarah tutup selama tujuh hari mulai hari ini susulan terdapat ibu bapa pelajar di sekolah itu disahkan positif COVID-19.

Exco Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan) Melaka Datuk Noor Effandi Ahmad berkata penutupan sekolah itu sehingga 25 Okt ini bagi membolehkan kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka.

"Arahan penutupan sekolah yang mempunyai kira-kira 700 pelajar itu dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

"Saya dimaklumkan bahawa keputusan ujian calitan saringan COVID-19 terhadap kesemua pelajar di sekolah itu belum diketahui sama ada positif atau negatif," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Khamis lepas, Bernama melaporkan dua sekolah di Alor Gajah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Berembang dan SMK Lubok China diarah tutup selama tujuh hari bermula 15 Okt lepas susulan dua beradik yang belajar di dua sekolah berkenaan disahkan positif COVID-19.

-- BERNAMA