Ratusan berkumpul di Pantai Bondi peringati mangsa tembakan

Ahli keluarga mangsa meratapi kehilangan di hadapan tugu peringatan bunga yang didirikan di Bondi Pavilion, Pantai Bondi. - Foto AP
SYDNEY: Ratusan orang berkumpul di Pantai Bondi, Sydney, pada Rabu bagi memperingati 15 mangsa yang terkorban dalam insiden tembakan beramai-ramai terburuk di Australia sejak hampir tiga dekad lalu.
Menurut laporan media tempatan, para pengunjung dilihat berpelukan dan bertafakur selama seminit sebagai tanda penghormatan.
Upacara itu berlangsung beberapa hari selepas media Australia menamakan dua suspek, Sajid Akram dan anaknya, Naveed Akram, yang melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang sedang meraikan perayaan Hanukkah di pantai berkenaan.
Mangsa yang terkorban berusia antara 10 hingga 87 tahun, termasuk seorang pemimpin agama Yahudi yang juga bapa kepada lima anak, seorang wanita Slovakia, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, serta seorang mangsa yang pernah terselamat daripada peristiwa Holocaust.
Polis memaklumkan bahawa 40 individu cedera dalam serangan itu dan telah dihantar ke hospital, termasuk dua anggota polis yang kini dilaporkan dalam keadaan serius tetapi stabil.
Insiden yang berlaku pada Ahad lalu itu disifatkan sebagai serangan bersenjata paling dahsyat sejak tragedi Port Arthur pada 1996 di Tasmania, yang mengorbankan 35 nyawa.
Australia, yang selama ini dianggap antara negara paling selamat di dunia, jarang menyaksikan kejadian tembakan besar-besaran.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


