KUALA LUMPUR:Prosedur operasi standard (SOP) sedia ada disifatkan mencukupi untuk mengekang penularan jangkitan COVID-19 termasuk di Sarawak yang ketika ini mencatatkan kadar kebolehjangkitan tertinggi iaitu 1.50.

Bagaimanapun, Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata, SOP tersebut perlu diperketatkan khususnya dalam meningkatkan kesedaran orang ramai.

Jelas beliau, kes jangkitan harian di Sarawak masih berada pada tahap yang rendah jika dibandingkan dengan beberapa negeri lain.

“Sebenarnya terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kadar kebolehjangkitan virus COVID-19. Saya bahagikan kepada tiga faktor iaitu virus; faktor individu yang dijangkiti dan faktor persekitaran.

“Jika kita bercakap tentang virus, ya boleh jadi ada kemungkinan virus yang menjangkiti pesakit adalah virus yang bermutasi, memang ada kemungkinan. Jika kita lihat kepada laporan-laporan sebelum ini, kita dapati varian-varian baharu virus SARS-CoV (COVID-19) ini kebanyakannya mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi berbanding virus asal.

“Walau bagaimanapun, untuk kes ini (virus bermutasi) ujian makmal perlu dilakukan bagi mengesahkan andaian ini,” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai punca yang menyebabkan kadar kebolehjangkitan di Sarawak berada pada tahap paling tinggi, setakat ini. 

Faktor kedua jelas beliau, berpunca daripada kegagalan individu yang dijangkiti COVID-19 untuk mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk mengunjungi kawasan yang sesak dan tidak memakai pelitup muka.

“Faktor persekitaran pula misalnya, individu yang dijangkiti itu tinggal di tempat yang sesak, mungkin di penjara atau asrama-asrama pekerja atau di rumah yang kecil dan mempunyai bilangan penghuni yang sangat ramai,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan kadar kebolehjangkitan yang dicatatkan di Sarawak adalah 1.50 berbanding kadar kebolehjangkitan kebangsaan iaitu 1.14.

Ia diikuti Perlis, Terengganu dan Melaka yang masing-masing mencatatkan 1.43 dan 1.34.