COVID-19: Tiada rakyat Malaysia meninggal dunia di luar negara

Tiada rakyat Malaysia meninggal dunia kerana COVID-19 di luar negara setakat ini, ujar Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tiada rakyat Malaysia meninggal dunia kerana COVID-19 di luar negara  setakat ini, ujar Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. | Astro Awani
Tiada rakyat Malaysia meninggal dunia kerana COVID-19 di luar negara setakat ini, ujar Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, jika perkara itu berlaku, kerajaan tiada masalah untuk membawa pulang jenazah rakyat Malaysia, asalkan ia mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan negara terlibat.

"Setakat hari ini belum ada lagi yang meninggal dunia kerana COVID-19 di luar negara. Kalau ada, KKM akan mengeluarkan SOP bagaimana nak bawa pulang dan kita mesti patuh SOP negara berkaitan juga.

"Kita tidak ada masalah untuk membawa balik jenazah kalau ada rakyat kita meninggal dunia di luar negara, namun SOP mesti KKM keluarkan dan pada masa sama, SOP negara itu juga perlu dipatuhi. Namun, Alhamdulillah tiada rakyat kita meninggal dunia kerana COVID-19 di luar negara," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Dalam pada itu katanya, tidak timbul isu sama ada rakyat Malaysia yang positif COVID-19 tidak boleh pulang ke tanahair.

"Negara berkaitan akan kuarantin mereka, seperti juga kita. Kalau ada rakyat asing positif, mereka juga akan dikuarantin," ujar beliau.