KUALA LUMPUR:Sarawak mencatatkan pertambahan tiga kes baharu positif COVID-19 hari ini.

Ketiga-tiga kes diklasifikasikan sebagai kes Import (B) atau berasal dari jangkitan luar iaitu Sabah.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kes pertama melibatkan seorang anggota keselamatan yang tiba dari Tawau.

Kes dikatakan telah menjalani ujian saringan swab di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) sebelum meneruskan perjalanan ke Sibu pada 30 September 2020.

Keputusan ujian rT-PCR yang dimaklumkan pada 2 Oktober mendapati kes positif COVID-19. Kes ini telah dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Memetik laporan itu lagi, kes kedua melibatkan seorang guru yang bertugas di Tambunan.

“Kes telah balik ke Sibu kerana bercuti pada 30 September 2020.

“Kes telah melakukan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah melalui persinggahan di KIA dan seterusnya ke Sibu pada hari yang sama,” menurut kenyataan itu.

Keputusan ujian rT-PCR yang dijalankan ketika transit di Kuching mendapati kes positif COVID-19.

Kes ketiga yang dilaporkan hari ini pula iaitu kes ke-716 merupakan seorang lelaki tempatan yang bertugas di sebuah syarikat petroleum di Kota Kinabalu. 

“Setibanya di Kuching, kes telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan diberikan arahan kuarantin 14 hari di rumah.

“Keputusan saringan ujian rT-PCR kes telah didapati positif pada 02 September 2020 dan kes dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut,” jelas kenyataan itu.

Antara yang dimuatkan dalam laporan harian JPBN Sarawak pada Sabtu termasuk kemas kini perkembangan kes di Pa’ Dalih, Bario.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mendapat makluman daripada Pejabat Kesihatan Daerah Sepang, Selangor berkenaan seorang warga tempatan dari Miri yang dilaporkan positif COVID-19 pada 1 Oktober.

Melalui siasatan yang dijalankan, kes dikatakan melalui transit di Kuala Lumpur sebelum dijadual terbang untuk bertugas di sebuah syarikat minyak dan gas di Iraq pada 30 September 2020.

Kes telah berjaya dikesan dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
Sebelum itu, kes mempunyai sejarah perjalanan di Miri dan telah melawat keluarga di Pa' Dalih, Bario, Marudi dalam tempoh 14 hari lepas.

Tegas JPBNS, pengesanan kontak rapat kini sedang giat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri susulan laporan berkenaan.