Kerajaan yakin dengan sokongan dan kerjasama rakyat, industri pelancongan, kesenian dan kebudayaan di negara ini mampu dirancakkan semula menerusi inisiatif, pakej dan kempen yang dijalankan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya sentiasa berusaha menyediakan platform terbaik dalam memastikan semua sektor berkembang rancak semula bagi menjana ekonomi yang lebih mampan.

Beliau turut berkongsi pengalaman kementeriannya berdepan cabaran yang sukar di awal penularan pandemik COVID-19 di negara ini, sehingga memaksa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, ia jelas memberi kesan yang besar, terutamanya dalam industri pelancongan, yang menyaksikan kerajaan merancang langkah dan strategi yang difikirkan perlu untuk memperbaiki keadaan, susulan kesan COVID-19 yang dialami.

"Industri pelancongan dan kebudayaan adalah antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, dengan menyumbang 15.5 peratus kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

"Pada 2019, pendapatan industri pelancongan meningkat kepada RM86.1 bilion, berbanding 84.1 pada 2018.

"Namun, selepas PKP, sektor tersebut terkesan dan telah memberi impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya ketika hadir pada Malam Puisi Perdana Hari Malaysia Bersama Kerabat Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Wisma MPM di sini, malam tadi.


Jelas Nancy, pelan pemulihan sektor pelancongan dan kebudayaan melalui kempen pelancongan domestik yang bermula sejak Jun lepas kini telah mula menampakkan perkembangan positif.

Malah, katanya, kementerian itu juga baharu sahaja melancarkan kempen Cuti-Cuti Kuala Lumpur bagi memberi fokus kepada menggalakkan rakyat tempatan melancong ke ibu negara.

"Walaupun Kuala Lumpur lebih sinonim dengan status sebagai ibu negara, tidak dapat dinafikan ia juga mempunyai tarikan pelancongan yang sangat hebat dan menjanjikan sesuatu untuk setiap lapisan masyarakat Malaysia yang datang ke sini," katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, wabak COVID-19 yang melanda tidak hanya mendatangkan keburukan, tetapi juga dilihat sebagai titik peluang kepada rakyat negara ini untuk membangunkan kualiti perkhidmatan dan produk pelancongan masing-masing dengan kaedah teknologi baharu.

"Sebagai contoh, penganjuran festival Malaysia di luar negara boleh dilaksanakan bersama rakan strategik di luar negara tanpa memerlukan kehadiran fizikal delegasi daripada Malaysia," katanya.

Acara yang diadakan sempena sambutan Bulan Merdeka dan Hari Malaysia bertemakan ‘Kedaulatan Bangsa dan Negara’ malam tadi menampilkan tokoh dan personaliti tanah air seperti Tun Haniff Omar, Prof Datuk Dr Zainal Kling, Prof Datuk Dr Awang Sariyan dan Datuk Jamal Abdillah yang mendeklamasi puisi.