KUALA LUMPUR:Jumlah jangkitan baharu pandemik COVID-19 di Malaysia yang direkodkan hari ini ialah sebanyak 1,168 kes.

Daripada angka yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam itu, kesemua kes baharu itu merupakan penularan tempatan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, negeri Sabah merekodkan 616 kes baharu diikuti Selangor (247), Labuan (105) serta Negeri Sembilan (68).

"Sabah mencatatkan sebanyak 616 kes (52.7 peratus) daripada keseluruhan kes positif pada hari ini. Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 275 kes (23.5 peratus) dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan mencatatkan sebanyak 104 kes positif (8.9 peratus) pada hari ini," katanya dalam sidang media harian.


 
Beliau juga berkata, Malaysia juga mencatatkan jumlah tertinggi pesakit sembuh dan discaj iaitu seramai 1,026 orang.

Katanya, KKM juga merekodkan tiga kematian dalam tempoh 24 jam selain mengenal pasti empat kluster baharu.

Kluster baharu membabitkan beberapa daerah di Lembah Klang dan Sabah.