PUTRAJAYA:Malaysia mencatatkan sebanyak 1,600 kes baharu COVID-19 bagi tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kes pandemik itu di negara ini sebanyak 74,295 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu terdapat tiga kes import dilaporkan yang menerima jangkitan dari luar negara.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini menjadi 11,604 kes,” katanya menerusi kenyataannya pada Isnin.

Bagi penularan mengikut negeri, Negeri Sembilan mencatatkan pertambahan kes tertinggi dengan sebanyak 541 kes diikuti Selangor 426 kes dan Sabah 248 kes.

Pertambahan kes di Negeri Sembilan adalah ekoran daripada pertambahan kes dalam Kluster Bakti iaitu sebanyak 500 kes.

Menurut Dr Noor Hisham terdapat pertambahan dua kes kematian baharu akibat COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini sebanyak 384 kes.

Setakat ini, terdapat sebanyak 129 kes yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 57 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Kes sembuh terus mencatatkan peningkatan dengan pertambahan sebanyak 1,033 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 62,306 kes.