KOTA KINABALU: Dua kluster baharu di Sabah telah dikesan di daerah Tawau semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster-kluster tersebut dikenali sebagai Kluster Semarak dan Kluster Ranggu.

"Kluster Ranggu dikesan pada 26 Mac, apabila kes indeks iaitu jurujual alat komunikasi menjalani saringan bergejala di salah sebuah klinik. Hasil saringan kontak rapat, tujuh lagi kes positif termasuk rakan serumah dan teman lelaki direkodkan.

"Berdasarkan penelitian kes, jangkitan dipercayai berpunca daripada keluarga kes indeks yang menghadiri kenduri arwah di Taman Semarak pada 20 Mac dan majlis graduasi pada 24 Mac," katanya, sambil menambah, pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan.

Mengulas lanjut mengenai Kluster Semarak, beliau berkata jumlah kumulatif setakat ini adalah sebanyak enam kes.

"Kes indeks merupakan calon penjawat awam yang disahkan positif melalui saringan di klinik swasta sebelum mendaftar masuk ke pusat latihan di Kota Kinabalu.

"Saringan kontak rapat mendapati lima lagi kes positif dalam kalangan rakan serumah," katanya dalam satu kenyataan media laporan harian COVID-19 bagi negeri itu.

Sabah mencatatkan pertambahan 41 kes positif COVID-19 semalam, dengan daerah Tawau mencatatkan kes tertinggi sebanyak 23, diikuti Lahad Datu dan Kunak, masing-masing mencatatkan empat kes.

Masidi yang juga merupakan jurucakap COVID-19 negeri ini berkata, daripada 41 kes positif COVID-19, sebanyak 14 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat, tujuh kes saringan bergejala, 17 kes dari kluster baharu dan sedia ada serta tiga kes dari lain-lain kategori.

Kadar pematuhan penduduk terhadap prosedur operasi standard (SOP) semalam adalah 97 peratus, dengan daerah Semporna dan Sipitang mencatatkan kadar pematuhan terbaik.

Jjumlah kumulatif wabak itu di negeri ini sebanyak 54,698 kes, manakala pesakit sembuh dibenarkan keluar hospital pula seramai 82 orang, menjadikan jumlah kumulatif 53,891 orang.

Tawau merupakan antara empat daerah yang masih berada dalam zon merah selain Kota Belud, Kota Kinabalu dan Keningau, katanya.