KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 375 kes baharu penularan jangkitan COVID-19 dilaporkan setakat hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 14,368 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, jumlah kes aktif di negara ini adalah sebanyak 3,703 kes.

“Daripada 375 kes baharu, terdapat empat kes import mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan bukan warganegara.

“Manakala 371 kes penularan dalam negara, 342 kes melibatkan warganegara dan 29 kes bukan warganegara," katanya dalam sidang media hari ini.


Bagaimanapun Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat lima kes kematian baharu direkodkan pada Khamis menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat COVID-19 sebanyak 146 kes.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

Setakat ini, terdapat 60 kes yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 20 kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Bagi tempoh 24 jam itu, terdapat 18 kes yang telah pulih sepenuhnya menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 10,519 kes.

Berhubung pecahan jangkitan bagi negeri, Sabah terus berada di kedudukan teratas kes jangkitan COVID-19 dengan pertambahan sebanyak 271 lagi kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kes di negeri itu sebanyak 3,291 kes.