KUALA LUMPUR: Haram hukumnya melanggar larangan merentas negeri yang ditetapkan kerajaan, untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

Demikian ditegaskan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah pada satu seminar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Jumaat.

"Rentas sempadan, apa hukumnya apabila kerajaan larang? Andai tidak taat kepada ulul amri (pemerintah) maka hukumnya haram.

"Sekarang angka (jangkitan) semakin tinggi, jadi kalau dibenarkan (rentas negeri) bila rantaian jangkitan ini akan berhenti?

"Dalam media baru-baru ini ada kes tipu dokumen semata-mata mahu merentas negeri dengan menggunakan surat (kebenaran palsu) Yang Dipertuan Agong.

"Itu dua kali haram, menipu untuk rentas negeri dan menipu surat (kebenaran)," katanya, menurut laporan BH Online pada Jumaat.

Luqman dilaporkan berkata, asas kepada larangan rentas negeri perlu dilihat daripada hadis Rasulullah mengenai wabak penyakit taun.

Menurutnya, Rasulullah menyebut supaya umat manusia mengelak ke sesuatu tempat jika mendengar mengenai penyebaran sesuatu wabak penyakit dan mereka yang sudah sedia berada di tempat itu, tidak boleh keluar daripada kawasan berkenaan.

Beliau berkata demikian pada Seminar Cabaran COVID-19 Menurut Perspektif Islam dan Pelancaran Buku Fakulti Pengajian Islam di Bangunan Canselori UKM yang turut disiarkan secara maya melalui aplikasi zoom semalam.

Luqman menerangkan, dalam menangani penularan COVID-19, umat Islam perlu kembali kepada perkara paling asas termasuk menerima larangan dikenakan pemerintah sekiranya dilakukan bagi tujuan kebaikan.

"Sekiranya untuk kebaikan, sebagai rakyat ia perlu diikuti. Jika tidak risiko (disebabkan jangkitan) adalah tinggi," beliau dipetik berkata.

Akhbar dalam talian itu turut melaporkan, Luqman sendiri sepatutnya ke Kelantan untuk menghadiri mesyuarat baru-baru ini tetapi membatalkannya bagi mengelak sebarang risiko jangkitan.