Individu yang pulang dari Sabah tidak perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata mereka yang tidak bergejala digalakkan menjalani ujian saringan bagi menjamin keselamatan diri dan keluarga di rumah.

“Mesyuarat Khas memutuskan bahawa tiada kuarantin wajib selama 14 hari bagi mereka yang pulang dari Sabah ke Semenanjung, Sarawak atau Labuan.

“Bagaimanapun, mereka yang bergejala perlu melakukan ujian saringan.

“Mereka yang tidak bergejala yang balik dari kawasan seperti Tawau, Lahad Datu, Semporna dan beberapa kawasan lain yang dianggap mempunyai kes-kes positif di kawasan tersebut, mereka digalakkan supaya membuat ujian saringan," katanya pada sidang media berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Selasa.

Katanya, pendekatan bagi menentukan sama ada seseorang itu perlu dikuarantin pada kali ini berbeza disebabkan daerah di Sabah yang besar.

“Sesebuah daerah di Sabah itu besar. Jika mereka tidak berada di kampung yang telah dikenal pasti sebagai daerah yang terjejas akibat penularan COVID-19, mereka tiada kontak rapat dengan sesiapa daripada kampung yang berisiko tinggi.

“Kalau kami lihat Sabah, kawasannya besar seperti Kinabatangan yang kawasannya sebesar Pahang.

“Jadi individu tersebut berada di belah selatan hujung DUN (Dewan Undangan Negeri), sedangkan sebuah kampung di sebelah utara yang terjejas, ia tiada pertembungan langsung,” jelasnya.

Tambahnya, sekiranya individu berkenaan pulang daripada kampung yang terjejas teruk akibat wabak COVID-19, kerajaan akan mengambil pendekatan yang berbeza.