KUALA LUMPUR:Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan menyampaikan Perutusan Khas mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada pukul 6 petang ini.

Perutusan tersebut akan disiarkan secara langsung di laman Facebook Perdana Menteri dan saluran televisyen termasuk di saluran 501 Astro AWANI dan di semua platform media sosial Astro AWANI.


Pada 8 Januari lepas, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengumuman oleh perdana menteri itu adalah bagi memaklumkan tindakan yang bakal diambil Kerajaan Persekutuan susulan situasi semasa penularan jangkitan COVID-19.

"Insya-Allah satu pengumuman akan dibuat oleh perdana menteri dalam masa terdekat bagi memaklumkan tindakan yang akan dilaksanakan.

“Sementara itu, saya ingin ingatkan seluruh rakyat dan diri sendiri untuk terus mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media tersebut.

Pemerhati menjangkakan perdana menteri akan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0, khusus bagi negeri yang dikategorikan sebagai zon merah seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Sabah, dan Johor.

Untuk rekod, jangkitan baharu harian COVID-19 pada 10 Januari ialah sebanyak 2,433 kes, dengan kes harian tertinggi dicatatkan sepanjang masa sejak PKP dilaksanakan ialah pada 7 Januari lepas, iaitu sebanyak 3,027 kes.

Jumlah kematian yang tercatat ialah sebanyak 551 kes, bersamaan dengan 0.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 iaitu sebanyak 135,992 kes.

COVID-19 | Menjelang pengumuman khas Perdana Menteri petang ini


BACA SEMUA BERHUBUNG COVID-19 DI SINI

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 27,332 kes.

Bagaimanapun, kadar sembuh sepenuhnya terus menunjukkan angka yang meyakinkan iaitu sekitar 75 hingga 85 peratus dengan jumlah terkini sembuh sepenuhnya ialah 108,109 kes (79.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). 

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menzahirkan kebimbangan ekoran peningkatan mendadak kes COVID-19 yang dikhuatiri memberi tekanan lebih berat terhadap sistem penjagaan kesihatan negara ini.

Dalam catatan di akaun Facebooknya, Dr Noor Hisham berkata beliau mengharapkan agar masyarakat dan semua pihak untuk membantu para petugas barisan hadapan, khususnya dari Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam usaha meminimakan kesan gelombang ketiga pandemik itu.

“Bukan mudah untuk petugas menguruskan jenazah pesakit COVID-19. Mereka terpaksa memakai PPE lengkap dengan bermandi peluh dalam keadaan panas terik sehingga liang lahad dan sehingga selesai segala urusan pengebumian kes COVID-19.

“Semoga kita semua memahami cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh setiap petugas barisan hadapan.

"Marilah bantu negara dengan kita jaga kita, kita jaga keluarga kita.

"Semoga kita semua terlindung daripada musibah COVID-19,” katanya lagi.

Pada 7 Januari lepas, Dr Noor Hisham melalui ciapan di Twitternya berkata KKM menganggarkan jumlah kes harian COVID-19 boleh mencecah 8,000 pada pertengahan Mac jika kadar jangkitan (R0 atau R naught) kekal pada 1.2.

Beliau berkata menurut unjuran kementerian, dengan R0 1.2, Malaysia akan merekodkan 5,000 kes harian pada minggu ketiga Februari dan 8,000 pada minggu ketiga Mac.

Ujarnya lagi, R0 semasa adalah di antara 1.1 dan 1.2, namun beliau menjangkakan jumlah kes akan meningkat dalam satu atau dua minggu selepas perayaan tahun baharu.

Susulan kenyataan itu, Menteri Kanan Ismail Sabri memaklumkan jumlah katil bagi menempatkan pesakit COVID-19 tidak akan mencukupi sekiranya kes harian mencecah 5,000 atau 8,000, dan amat sukar untuk kerajaan mengatasi masalah berkenaan.

Untuk rekod, PKP pertama kali diumumkan oleh perdana menteri pada 16 Mac tahun lepas dan diwartakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Pelaksanaan PKP bermula 18 Mac hingga 4 Mei itu menyaksikan hampir kesemua sektor dan industri penting negara ditutup, dan negara kehilangan hampir RM22.8 bilion dari segi output ekonomi pada suku pertama 2020.

Selain itu, statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat 28 Oktober lalu mencatatkan seramai 90,470 orang hilang pekerjaan.

Kerajaan membuat keputusan melonggarkan PKP, dan menggantikannya dengan PKP Bersyarat (PKBB) pada 4 Mei 2020 dan seterusnya PKP fasa Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun 2020.

Bagaimanapun, susulan penularan mendadak kes COVID-19 dalam komuniti tempatan yang didakwa sesetengah pihak berpunca daripada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri Sabah pada September lepas, PKP dilihat kembali menjadi pertimbangan utama Kerajaan Persekutuan.


*Tonton pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin di Saluran 501, www.astroawani.com/live-tv dan semua platform media sosial Astro AWANI jam 6 petang Isnin. 

*Astro AWANI akan membawa analisis komprehensif dan terkini berhubung pelaksanaan PKP dari semasa ke semasa.