KUALA LUMPUR: Disiplin dan kawal diri penting dalam setiap individu semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pasukan keselamatan serta orang lain tidak mampu untuk menjaga semua orang dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa musim perayaan.

Tegasnya, kegagalan untuk menjaga diri akan menyebabkan kadar jangkitan semakin meningkat pada Hari Raya.

"Sebab itu arahan pada Hari Raya ini, kita tidak berkumpul amatlah penting untuk dipatuhi dan kita tidak perlu buat lawatan ke rumah kawan dan sanak saudara kerana itu bukan satu lawatan yang baik kerana kita mungkin akan dijangkiti atau mereka akan dijangkiti.

"Kita perlu sabar dalam Hari Raya tahun ini kerana kita ingin melihat penyakit ini dikurangkan dengan tindakan oleh kita.

"Mereka yang belum disuntik dengan vaksin perlu berusaha mendapat suntikan ini.

"Ia memberi perlindungan kepada kita walaupun tidak 100 peratus, tetapi lebih dari 90 peratus lindungan diberi kepada kita," katanya dalam kenyataan khas COVID-19 pada Isnin.

BACA: COVID-19: Dr Noor Hisham saran orang ramai laksana PKP kendiri

BACA: 
Hantar baju, kuih raya antara alasan rentas daerah, negeri - Polis

Dalam pada itu, kata Dr Mahathir, kegagalan untuk mengikuti arahan akan menyebabkan negara berdepan risiko seperti yang berlaku di India dan Brazil.

Ujarnya, negara berkenaan kini tidak lagi mampu untuk mengawal serta menjaga rakyar mereka yang dijangkiti pandemik serta dibiarkan begitu sahaja.

Beliau turut merayu rakyat untuk sentiasa mematuhi SOP dan hanya tinggal di rumah sahaja.

Katanya, masalah mungkin timbul dalam beberapa aspek termasuk mendapatkan bekalan makanan namun ia boleh diselesaikan dengan pembelian dalam talian.

Jelasnya, kejayaan mengawal angka jangkitan pandemik dengan tinggal di rumah semasa ia mula berlaku boleh berulang dengan mengelakkan kunjungan ke bazar Ramadan serta berkumpul di tempat awam.