KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan bahawa kluster-kluster yang dikenal pasti di Selangor mempunyai strain virus jenis mutasi D614G.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ini kerana kebanyakan kes yang direkodkan di negeri itu adalah daripada mereka yang pulang dari Sabah.

"Berdasarkan kebanyakan kajian yang kita lakukan, sebelum ini sebagai contoh 23 sampel yang diperoleh dalam Kluster Benteng Lahad Datu yang kami hantar kepada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati terdapat mutasi D614G.

"Begitu juga di Kedah di mana beberapa kluster yang kami kaji seperti Kluster Sivagangga, Kluster Tawar dan Kluster Sungai semua mempunyai kaitan walaupun ia dikenal pasti sebagai jenis yang berbeza tetapi mutasi yang sama.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

BACA: COVID-19: 1,032 kes baharu, lapan kes kematian dilaporkan

"Walaupun tiada kaitan epidemiologi yang jelas tetapi mempunyai jenis mutasi virus yang sama, jadi adalah tidak mustahil bagi 31 kluster yang dikenal pasti di Selangor mempunyai kaitan daripada mereka yang pulang dari Sabah.

"Kemungkinan kes mempunyai virus mutasi yang sama," jelasnya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 pada Rabu.


Pada masa sama, Dr Noor Hisham turut memberi penjelasan bahawa setiap hari pihaknya akan melakukan kajian dengan mengenal pasti kontak rapat mereka yang disahkan positif dan mengenal pasti sesebuah kluster baharu.

"Setiap hari terdapat beberapa kluster baharu yang akan diberi nama dan akan dikongsikan maklumat itu kepada orang awam.

"Kami juga melakukan contact tracing, jadi dengan cara itu kami mengesan mereka yang didapati positif dan mengenal pasti kluster tersebut dengan nama baharu yang diberikan," ujarnya.