KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan 60 peratus populasi divaksinasi menjelang penghujung September ini.

Ia jangkaan lebih awal berbanding sasaran yang ditetapkan menjelang November atau Disember seperti dinyatakan dalam Pelan Pemulihan Negara.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata peratusan itu berdasarkan keyakinan bahawa Malaysia akan memberikan suntikan kepada 32 juta penduduk antara Julai dan September ini.

Ia melibatkan 11 juta dos suntikan pada Julai, 13 juta pada hujung Ogos, manakala lapan juta lagi menjelang hujung September.

"Dengan ini, kerajaan menyasarkan untuk 60 peratus populasi divaksinasi menjelang hujung September.

"Seterusnya, kerajaan sedang meningkatkan jumlah pusat vaksinasi untuk mempercepat pemberian vaksinasi dalam program imunisasi.

"Kami telah menyiapkan sejumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega untuk meningkatkan kadar vaksinasi.

"Kami menyasarkan tambahan 1,000 orang pengamal perubatan am dari sektor swasta untuk memulakan pemberian vaksin pada 30 Jun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pada majlis pelancaran "Malaysia Economic Monitor, Weathering the Surge” oleh Bank Dunia secara maya, pagi Rabu.

Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sebagai tambahan, Khairy menjelaskan kerajaan ketika ini juga telah mengaktifkan unit mudah alih untuk memvaksinasi mereka yang mempunyai masalah mobiliti.

Khairy menambah setakat 19 Jun lalu, seramai 4.08 juta individu atau 12.5 peratus populasi di negara ini menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, sementara 1.58 juta lagi sudah menerima suntikan penuh dua dos.

"Kerajaan telah menetapkan suntikan 150,000 vaksin sehari pada Jun sebelum meningkat kepada 200,000 suntikan sehari pada Julai. 

"Saya dengan besar hati menyatakan bahawa kita telah mencapai sasaran tersebut lebih awal daripada yang dijadualkan, dengan 215,000 suntikan pada 15 Jun," katanya lagi.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi berkata kerajaan akan terus menyokong syarikat dan mengekalkan pekerjaan untuk rakyat menerusi pelbagai pakej bantuan sementara menunggu pelan imunisasi membuahkan hasil.