Kerajaan sedia membenarkan pelajar yang masih berada di kampus universiti masing-masing untuk pulang ke kediaman atau kampung halaman mereka.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, pergerakan pulang itu perlu dilakukan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk saringan kesihatan.

Katanya, pertimbangan kerajaan itu dibuat selepas mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendapati tiada kluster COVID-19 di kampus dan pelajar tidak menunjukkan gejala jangkitan sehingga kini.

"Kita faham ibu, bapa dan pelajar rasa tertekan kerana begitu lama berada di kolej dan kampus masing-masing. Ramai yang merayu untuk pulang ke kampung. Mesyuarat Kabinet sebelum ini membuat keputusan mereka terus tinggal di kampus hingga dapat nasihat KKM.

"Hari ini kita telah mendapat pandangan KKM. Mereka yang berada di kampus lebih 28 hari... jika mereka dikuarantin dan tidak bergejala maka mereka tiada jangkitan COVID-19.

"Jadi kita bincang tadi bahawa ada kemungkinan kita boleh benarkan mereka pulang tetapi kita perlu SOP yang ketat kerana tak mahu mereka pulang secara besar-besaran.

"Kita nak mereka pulang ke kampung ikut SOP yang ketat," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Justeru katanya, KKM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan berunding untuk memastikan proses penghantaran mereka berjalan lancar.

"KPT dan KKM akan bekerjasama mengenai cara membawa pulang pelajar ini bagi memastikan ibu bapa tidak lagi risau mengenai anak mereka.

"Maklumat lanjut mengenai SOP akan dilihat secara teliti kalau dibenarkan pulang," tambahnya.