KOTA KINABALU: Negeri Sabah kembali mencatatkan kes COVID-19 tiga angka pada hari ini dengan 172 kes positif baharu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata daerah Kota Kinabalu menjadi penyumbang kes tertinggi dengan 83 kes.

"Kes harian baharu untuk Sabah meningkat mendadak kepada 172 hari ini dengan Kota Kinabalu menyumbang 82 kes yang mana 72 kes dari Kluster Khidmat (sekolah berasrama penuh). Sekolah ini sudah berada di bawah PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan).

"Tawau mengekalkan jumlah tinggi dengan 42 kes dan Lahad Datu (15 kes), Putatan (enam kes). Tiada kes baharu di 14 daerah," katanya dalam satu ciapan menerusi akaun Twitter beliau, pada Rabu.

Sementara itu, enam kes kematian turut direkodkan di negeri ini, iaitu empat kes di daerah Tawau dan dua di Lahad Datu.

"Daripada 172 kes positif COVID-19, sebanyak 53 kes berpunca daripada saringan kontak rapat, 14 kes saringan bergejala, 90 kes dari kluster sedia ada serta 15 kes dari lain-lain kategori," kata Masidi, yang juga jurucakap COVID-19 bagi Sabah.

Berikutan pengesanan 45 kes kumulatif positif COVID-19 yang direkodkan di Taman Aman 3 (24 kes), Taman Aman Jaya (10 kes) dan Taman Palm Height (11 kes), kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di tiga lokaliti tersebut.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga melaporkan masih berlaku penularan kes dalam kalangan penghuni taman tersebut dan kebanyakan kes melibatkan jangkitan serumah.

"Pelaksanaan PKPD memudahkan tindakan kawalan COVID-19 dengan lebih pantas dan berkesan seterusnya menghalang penularan kes dalam kalangan komuniti," katanya.

PKPD di tiga taman perumahan ini berkuatkuasa 22 April sehingga 5 Mei depan.