KUALA LUMPUR: Saringan kontak rapat terus menyumbangkan kepada jumlah kes positif tertinggi di Sabah iaitu 439 kes atau 56.7 peratus.

Jurucakap Kerajaan Sabah COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun memberitahu, saringan bergejala pula merekodkan 153 kes dan kluster yang ada dengan 74 kes.

Tegas Masidi, peningkatan kes positif di Sabah itu juga berpunca daripada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dalam kalangan rakyat negeri itu.

"Kurang pematuhan SOP adalah antara penyebab utama kadar jangkitan melebihi 500 kes," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Selain itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah memaklumkan terdapat tiga kluster baharu hari ini.

Katanya, ketiga-tiga kluster yang diisytiharkan di daerah Tawau, Sabah itu ialah Kluster Lahat-Lahat dan Kluster Batu Keramat (kluster komuniti) serta Kluster Unipark (kluster tempat kerja).

Dalam pada itu, Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi iaitu 214 kes; Sandakan (86 kes); Tawau (75 kes); Penampang (61 kes) dan Tuaran (58 kes).

Katanya, hanya daerah Sipitang sahaja yang tidak mencatatkan kes baharu hari ini.