Sarawak mengambil langkah berjaga-jaga terhadap pelawat atau mereka yang kembali ke negeri itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata sebahagian dari Sabah kini diletakkan sebagai zon merah COVID-19 dengan peningkatan jumlah kes baharu yang membimbangkan, manakala Sarawak telah mencatatkan sifar kes sejak beberapa hari lepas.

"Melihat trend ini (peningkatan COVID-19 di Sabah), serta laporan baru-baru ini menunjukkan bahawa mereka yang kembali dari Sabah telah diuji positif, maka sesiapa yang masuk Sarawak kena ambil ujian saringan tiga hari sebelum memasuki negeri ini," katanya ketika ditemui di majlis penghargaan kepada 33 pesara dan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang akan bersara di Betong, kira-kira 250 kilometer dari sini.

Berdasarkan situasi itu juga, beliau berkata rakyat Sarawak tidak boleh menganggap diri mereka terhindar daripada jangkitan COVID-19 dan perlu berwaspada terhadap kemungkinan penularan wabak berkenaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu Uggah berkata beberapa projek pembangunan telah terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini, bagaimanapun JKR bertindak segera menyambung semula projek yang tertangguh.

"Saya harus berterima kasih kepada JKR kerana bersungguh-sungguh menyambung semula (projek) yang terhenti misalnya di Bahagian Betong. Pasukan JKR Betong telah bertungkus lumus memperbaiki jalan dan jambatan yang rosak akibat hujan lebat, banjir dan tanah runtuh baru-baru ini," tambahnya.

-- BERNAMA