KUALA LUMPUR:Wanita yang sedang hamil tidak perlu khuatir berkenaan pengambil vaksin COVID-19, sama ada terhadap diri atau kandungan mereka. 

Ini kerana wanita hamil yang dijangkiti COVID-19 akan mengalami gejala yang lebih teruk sekiranya tiada perlindungan antibodi.

Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Professor Dr Muhammad Shamsir Mohd Aris berkata sekiranya seseorang wanita hamil itu tidak mempunyai sebarang alahan, tidak menjadi halangan untuk mereka mengambil suntikan vaksin COVID-19.

"Sekiranya mereka (wanita mengandung) yang berumur lebih 35 tahun, mengalami obesiti atau indeks jisim badan (BMI) melebihi 28, darah tinggi dan kencing manis dijangkiti COVID-19, kesannya lebih buruk.

"Mereka dinasihat supaya berbincang dengan pakar-pakar yang selalu mereka rujuk sama ada mereka harus atau sesuai untuk mengambil vaksin COVID-10.

"Kalau dilihat kepada risiko, mereka ini adalah kumpulan berisiko tinggi, jadi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menasihatkan mereka ini, jika tiada apa-apa alahan adalah digalakkan untuk mengambil vaksin," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Pakar obstetrik dan ginekologi itu menambah, tiada halangan kepada individu yang sedang merancang untuk hamil mengambil suntikan vaksin itu.

"Katakanlah mereka telah mengambil vaksin dan mereka mengandung dalam masa terdekat, sebenarnya tiada masalah.

"Ia juga bermakna, mereka yang ingin mengandung, sebenarnya tiada halangan untuk mereka mengambil vaksin dan seterusnya boleh melakukan rawatan kesuburan.

"Ini kerana vaksin COVID-19, berdasarkan data yang ada, ia tidak menunjukkan kesan terhadap kandungan dan tidak ada kesan yang menyebabkan kecacatan kepada janin akibat vaksin ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau akui kajian terperinci terhadap jenis vaksin dan kesan kepada kandungan masih minima buat masa ini. 

Jelasnya, perlindungan antibodi kepada wanita mengandung serta kandungan mereka amat penting terutama apabila memasuki trimester akhir.

"Daripada pembacaan saya dan saya percaya ramai pakar-pakar turut bersetuju, Insya-Allah, jika vaksin ini digunakan sama ada sebelum atau semasa mengandung, termasuk di awal kandungan, Insya-Allah ia tidak akan menyebabkan apa-apa masalah kepada janin atau kepada kandungan.

"Apa yang baiknya adalah telah didapati bahawa vaksin ini boleh mengurangkan kesan sekiranya mereka mendapat jangkitan virus ini," ujar beliau.

Beliau pada masa sama menasihati wanita yang sedang mengandung untuk mengadakan rundingan bersama pakar selain mengikuti arahan semasa pihak Kementerian Kesihatan berkaitan pengambilan vaksin.