Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 147 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan sehingga Rabu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 10,505 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan sebanyak 770 kes.

"Ingin dimaklumkan daripada 147 kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga warganegara dan satu bukan warganegara.

"Daripada 143 kes penularan di dalam negara, 115 kes adalah warganegara Malaysia dan 28 kes adalah bukan warganegara," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Sehingga kini, lapan kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dua daripada kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) memaklumkan terdapat penambahan tiga kematian menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 133 kes bersamaan 1.27 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Kes kematian ke-131 (iaitu kes ke-10,495) merupakan perempuan warganegara Indonesia berumur 48 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Kes mula mengalami gejala lemah badan, muntah, batuk dan demam pada 14 September 2020. Kes telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Tawau, Sabah pada 18 September 2020 dalam keadaan separa sedar," katanya.

Bagaimanapun, keadaan mangsa merosot sebelum dipindahkan ke ICU pada 19 September dan disahkan meninggal dunia pada hari sama pada 10.20 malam. Pada 22 September 2020, saringan COVID-19 mangsa didapati positif.

"Manakala bagi kes kematian ke-132 (iaitu kes ke-10493) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 54 tahun. Kes telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Semporna,Sabah pada 18 september 2020 bagi gejala demam, batuk dan sukar bernafas.

"Saringan COVID-19 telah dijalankan, bagaimanapun keadaan kes didapati semakin merosot dan kemudian dirujuk ke Hospital Tawau pada 20 September 2020 di mana kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Kes disahkan meninggal dunia pada 22 September 2020 pada jam 6.55 petang," katanya.

Keputusan saringan pada 22 September 2020 mendapati mangsa positif COVID-19.

Bagi Kes kematian ke-133 (iaitu kes ke-9224) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun dengan latar belakang penyakit strok.

"Kes telah dikesan sebagai kontak rapat kepada kes ke-9124 (telah meninggal dunia) yang merupakan kes positif dalam Kluster Tawar.

"Kes tidak bergejala, dikesan positif COVID-19 pada 19 Ogos 2020 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Keadaan kes didapati merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU)," jelasnya.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada 23 September 2020 pada jam 3.40 pagi.

KKM menzahirkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa.