KUALA LUMPUR: Terdapat stigma dalam kalangan masyarakat di mana sebahagian besar golongan warga emas enggan menerima vaksin COVID-19 apabila melihat kepada faktor penyakit kronik yang dialami mereka.

Bagaimanapun, Pakar Perunding Respitori Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Helmi Haja Mydin berkata, golongan itu sebenarnya bertuah kerana pemberian vaksin mampu mengurangkan risiko mereka daripada dijangkiti virus tersebut.

“Mereka sebenarnya golongan paling bertuah kerana pengambilan vaksin ini akan kurangkan risiko mereka untuk dijangkiti COVID-19.

“Langkah mengambil vaksin ini juga mengurangkan tahap komplikasi terhadap golongan warga emas yang mempunyai penyakit kronik,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Rabu.

Jelasnya, golongan tersebut perlu memahami tindakan kerajaan berhubung pemberian vaksin berkenaan kerana ia menjadi faktor pelindung terhadap mereka.


Dalam pada itu, Dr Helmi turut mengingatkan kepada rakyat Malaysia, kemasukan vaksin ke negara ini bukan alasan yang membolehkan masyarakat menghentikan amalan norma baharu.

Sebaliknya, katanya, ia merupakan satu senjata yang memerlukan sokongan beberapa tindakan lain bagi mengurangkan lagi kadar penularan COVID-19.

“Norma baharu bukan lagi perkara baru, malah ia telah jadi kebiasaan. Dan perlu kita ingat, vaksin ini hanya senjata untuk membunuh virus.

“Amalan memakai pelitup muka, penjarakan fizikal, serta kawalan pergerakan perlu diteruskan supaya kadar jangkitan dapat dikurangkan dengan lebih menyeluruh,” katanya lagi.