CPSM bimbang salah laku seksual pelajar, gesa pembaharuan nilai moral

Beliau berkata kejadian itu perlu menjadi ‘wake-up call’ kepada semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, pemimpin dan masyarakat agar tidak lagi memandang ringan isu salah laku seksual di sekolah. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak Malaysia (CPSM) menzahirkan kebimbangan serius terhadap insiden salah laku seksual melibatkan empat pelajar lelaki di sebuah sekolah di Melaka, yang disifatkan sebagai petanda kemerosotan nilai moral dalam masyarakat.
Ringkasan AI
- Insiden salah laku seksual melibatkan empat pelajar lelaki di Melaka disifatkan sebagai petanda serius kegagalan masyarakat dalam mendidik nilai hormat dan maruah diri.
- CPSM menggesa reformasi menyeluruh termasuk pendidikan moral di sekolah, dasar sifar toleransi terhadap salah laku, dan sokongan psikologi kepada mangsa.
- Tengku Asra menyeru ibu bapa, pendidik dan pemimpin agar memainkan peranan aktif dalam membentuk peribadi anak-anak dan memastikan dasar tegas dilaksana demi melindungi golongan lemah.
"Keadilan mesti ditegakkan, bukan sahaja dari sudut undang-undang, tetapi juga dari sisi nurani dan hati masyarakat. Tiada justifikasi, tiada kompromi terhadap pelaku keganasan seksual,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa insiden ini harus menjadi panggilan sedar kepada semua pihak - ibu bapa, pendidik, pemimpin dan masyarakat - agar tidak lagi memandang ringan isu salah laku seksual di sekolah.
Menurutnya, ini bukan kegagalan empat individu semata-mata, tetapi kegagalan sistem nilai yang membenarkan rasa hormat dan tanggungjawab terus terhakis.
Tengku Asra turut menggesa pembaharuan menyeluruh bagi memulihkan nilai moral dan etika dalam sistem pendidikan serta budaya masyarakat.
Antara cadangan beliau termasuk:
- Memasukkan pendidikan moral dan emosi di setiap peringkat persekolahan.
- Melaksanakan dasar sifar toleransi terhadap salah laku seksual dan buli.
- Menganjurkan kempen nasional untuk memupuk rasa hormat terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa agar memainkan peranan aktif dalam membentuk peribadi anak-anak, bukan sekadar menekankan pencapaian akademik.
“Ajar anak-anak bukan sekadar untuk berjaya, tetapi untuk menghormati. Bukan sekadar untuk menang, tetapi untuk berbuat baik,” ujarnya.
Tengku Asra turut menekankan bahawa pemimpin juga memikul tanggungjawab untuk memastikan dasar dan tindakan tegas diambil bagi melindungi generasi muda daripada terus menjadi mangsa jenayah seksual.
“Ukuran sebenar sesebuah masyarakat ialah bagaimana kita melindungi golongan paling lemah.
"Hari ini, kita telah gagal dalam ukuran itu, namun kita masih berpeluang untuk bangkit dan memperbetulkannya,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami