KEMAMAN: Cuaca panas yang melanda ketika ini memberi 'bonus' kepada pengusaha ikan bilis di Kijal, Kemaman untuk menggandakan pengeluaran produknya.

Zuria Zulkifli, 35, berkata fenomena cuaca panas itu memberi kelebihan untuknya menghasilkan ikan bilis yang berkualiti dengan memerlukan waktu singkat bagi mengeringkan hasil laut berkenaan.

Pengusaha dari Kampung Tengah itu berkata jika sebelum ini hanya 40 kilogram ikan bilis sehari mampu dihasilkannya namun faktor cuaca ketika ini ia ditingkatkan kepada kira-kira 100 kilogram.

Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata dia tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan ikan bilis segar kerana suaminya merupakan seorang nelayan dan kebiasaan suaminya akan memukat ikan di sekitar perairan Kemaman.

"Keistimewaanya, jemur bilis itu cepat kering, biasa kalau mendung, kira jemur sehari itu tak kering.

"Kalau panas seperti ini, jemur sehari sudah kering dan kualiti kalau jemur sehari memang bagus," katanya.

Zuria yang mewarisi perniagaan ahli keluarganya itu berkata ikan bilis yang dihasilkannya turut mendapat permintaan tinggi termasuk pelanggan dari luar negeri itu.

Katanya antara ikan bilis yang sering mendapat permintaan tinggi ialah ikan bilis tembaga hitam, putih dan ikan bilis tembaga merah.

Jelasnya lagi ikan bilis itu dijual pada harga RM25 hingga RM28 satu kilogram, bergantung kepada jenis, gred dan kualitinya.