SHAH ALAM : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengingatkan orang ramai terutama golongan petani untuk tidak melakukan pembakaran terbuka lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas ketika ini.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba (Bahagian Keselamatan Kebakaran), Nordin Pauzi berkata, tindakan seumpama itu sangat berisiko menyebabkan kebakaran besar berlaku, sekali gus boleh mengundang kerosakan harta benda dan keselamatan orang ramai.

Beliau berkata, pembakaran terbuka terutama daripada golongan petani di kawasan ladang dikhuatiri menjadi penyebab kebakaran besar ekoran kesan kebakaran yang masih berlaku dalam himpunan atau longgokan bahan bakar.

Kata beliau, kaedah tradisional tersebut yang masih dipraktikkan oleh petani bagi memudahkan kerja pembersihan ladang dan menjimatkan kos adalah sangat berisiko ketika keadaan cuaca panas serta kering.

"Meskipun tahu kesan pembakaran terbuka di musim panas, namun masih ada segelintir petani mengambil kesempatan daripada cuaca panas untuk membakar semak samun atau longgokan sampah di ladang mereka kerana ia memudahkan kerja-kerja pembersihan.

"Mereka tidak menyangka bahawa api masih lagi berada di kawasan bawah longgokan sampah atau sisa kerja pembersihan ladang yang dilakukan, sedangkan ia boleh kembali terbakar dan menjadi api yang besar selepas itu.

"Oleh sebab itu, sangat tidak sesuai untuk orang ramai terutama petani membuat pembakaran terbuka di musim panas melampau kerana ia boleh memberi risiko besar kepada kejadian kebakaran tidak dijangka," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Nordin berkata, insiden kebakaran boleh menjadi lebih teruk sekiranya api pembakaran ladang yang ditinggalkan petani atau tidak padam sepenuhnya telah merebak ke dalam hutan atau belukar yang dipenuhi dengan daun atau kayu kering.

Katanya lagi, api yang merebak dengan pantas dan mengakibatkan kebakaran besar hutan boleh menimbulkan situasi bahaya kepada keselamatan awam dan kemusnahan harta benda.

"Api yang tidak padam sepenuhnya dan tidak nampak kerana berada di bawah tanah gambut, ia sangat bahaya sekiranya merebak ke dalam hutan yang dipenuhi dengan daun serta kayu kering.

"Kejadian kebakaran yang boleh berlaku dengan sekelip mata tanpa disedari akan mengundang kemusnahan dan kerugian besar.

"Paling tidak diingini sekiranya kebakaran tersebut mengakibatkan kehilangan nyawa insan tersayang," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, JBPM berusaha memberi peringatan dan nasihat kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang pembakaran terbuka di musim kemarau.

Jelasnya, kebakaran terbuka hutan yang berskala besar dan berpanjangan boleh menyebabkan fenomena jerebu, sekali gus memberi masalah kepada sosioekonomi serta kesihatan masyarakat.

Sementara itu menurut beliau, pihaknya menggesa semua pihak bertanggungjawab atau agensi kerajaan lain untuk memainkan peranan melaksanakan gerakan kempen kesedaran kepada masyarakat.

Tambahnya, dalam masa sama, semua pihak terlibat juga perlu mengaktifkan 'contengency plan' sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

"Tumpuan utama adalah memberi kesedaran kepada orang ramai terlebih dahulu, sebelum JBPM boleh melakukan kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain seperti rondaan bersama bagi mencegah kebakaran.

"Dengan kerjasama tersebut, agensi yang mempunyai peruntukan kuasa lebih daripada JBPM boleh mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang masih berdegil atau melanggar peraturan undang-undang yang telah ditetapkan," katanya. - Sinar Harian