KUALA TERENGGANU: Syarikat Air Terengganu (SATU) memberi jaminan bekalan air di negeri itu tidak terjejas meskipun sedang berdepan cuaca panas.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, TS Abdul Karim Endut berkata sebanyak 15 loji takungan air di negeri itu mampu menampung lebih 360,000 akaun pengguna di seluruh Terengganu.

Menurut Abdul Karim, loji berkenaan berupaya menjalankan pengeluaran sebanyak 1,041 juta liter air sehari dan setakat ini pengeluarannya mencecah lebih 800 juta liter sehari.

Jelasnya lagi sekiranya paras sungai menunjukkan penurunan, air daripada Empangan Kenyir akan disalurkan sebagai persediaan keperluan semasa di negeri itu.

"Kita dianugerahkan sungai, contohnya di Kuala Terengganu ini, sungainya besar.

"Dalam sejarah negeri Terengganu belum ada lagi kejadian bekalan air terjejas apabila berlaku musim kemarau tapi kita bersedia dengan kemungkinan berlaku kekurangan air di sungai yang boleh menyebabkan bekalan air kita terganggu.

"Tetapi untuk beberapa daerah seperti di Kuala Terengganu ini, bekalan air mentah selain daripada sungai, kita dapat bekalan air dari Empangan Kenyir," katanya.

Beliau ditemui selepas membuat lawatan di loji rawatan air di sekitar Kuala Terengganu.

Dalam pada itu orang ramai dinasihatkan agar dapat menggunakan air secara berhemah sepanjang musim kemarau ini.