KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk melaksanakan sekatan kepada bekalan dan penggunaan air susulan cuaca panas dan kering ekstrem.

Sebaliknya, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan, kerajaan hanya akan mengetatkan kawalan ke atas penggunaan air tidak penting sekiranya wujud keperluan kritikal.

"Melihat kepada ketersediaan semasa, kementerian mendapati tiada keperluan untuk melaksanakan sekatan kepada bekalan dan penggunaan air.

"Kementerian hanya akan melaksanakan tindakan kawalan yang lebih ketat apabila keperluan kritikal iaitu sekatan ke atas penggunaan air tidak penting bagi kategori-kategori tertentu di bawah Seksyen 56 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) serta melaksanakan Bekalan Air Berjadual (BAB)," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut Nik Nazmi berkata, kerajaan turut mengaktifkan pelan tindakan dan mitigasi bagi berdepan cuaca panas dan kering ekstrem.

Katanya, ia termasuk membangunkan pelan kesiapsiagaan dan mitigasi bagi memastikan pihak operator bekalan air melaksanakan obligasi mereka dalam membekalkan air terawat yang berterusan kepada pengguna.

"Sebagai tindakan utama di bawah pelan kesiapsiagaan dan mitigasi tersebut, kesemua operator air di bawah seliaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengaktifkan bilik gerakan atau war room secara bersama dan dioperasikan serentak bermula 1 Jun lalu.

"Susulan pengaktifan war room ini, rakyat boleh mendapat akses kepada maklumat terkini paras air di semua loji dan empangan di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan dalam laman web war room yang telah disediakan," katanya.

Nik Nazmi memberitahu, sehingga 25 Mei lalu, Jabatan Alam Sekitar menerima lebih 1,800 aduan kes pembakaran terbuka dengan 80 peratus kes melibatkan pembakaran sampah sarap.

"Terdapat lima kes pembakaran terbuka besar di Semenanjung yang telah menyebabkan jerebu setempat melibatkan tiga kes pembakaran tanah gambut, dan dua kes pembakaran di tapak pelupusan sampah," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, pada masa ini, tiada suhu ekstrem melebihi 38 darjah Celsius boleh berlaku di Malaysia dari Jun hingga Disember tahun ini.

Bagaimanapun beliau memberitahu, masih terdapat kemungkinan negara akan mengalami suhu sedikit lebih tinggi dari biasa dengan peningkatan suhu antara 0.5 dan 1 darjah Celsius.

Sementara itu, Nik Nazmi menyatakan Kedah dan Kelantan terdedah kepada risiko gangguan bekalan air kerana tidak mempunyai rizab bekalan air terawat.

Menurutnya, sehingga tahun lalu, hanya Pulau Pinang dan Terengganu merekodkan tahap rizab margin air terawat pada kadar selesa iaitu melebihi 20 peratus.