Setiap orang pasti terpegun jika melihat seorang gadis 'mat saleh' bertudung bekerja sebagai pelayan di sebuah warung roti canai.

Itu yang menyebabkan cerita seorang gadis Itali bertudung yang bekerja sebagai pelayan di sebuah warung roti canai di Kedah menjadi viral di media sosial.

Berusia 17 tahun, Chantal Viola dari Rom, Itali menyatakan dia memakai tudung bagi menghormati keluarga angkatnya serta budaya masyarakat Melayu di Malaysia.

Chantal adalah seorang pelajar sekolah dari Rom yang datang ke Malaysia untuk program pertukaran pelajar anjuran Yayasan Antarabudaya Malaysia (AFS) selama setahun.

Cuaca panas tidak halang Chantal pakai tudung

Walaupun datang dari negara yang beriklim lebih sejuk, cuaca panas tidak menghalang gadis berusia 17 tahun itu untuk memakai tudung.

"Sebenarnya kakak saya memberi kain selendang untuk saya pakai di sini. Pada mulanya saya pakai selendang kerana tidak tahan dengan cuaca yang agak panas di sini tetapi sekarang ia satu perkara biasa," kata Chantal.

Sejak Julai tahun lalu, Chantal ditempatkan di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar dan tinggal dengan keluarga angkat.

Bertugas sebagai pelayan di warung milik bapa rakannya ini membolehkannya belajar untuk bertutur dalam bahasa Melayu.

"Saya suka bantu dan disini saya boleh berlatih untuk bercakap dalam bahasa Melayu." jelas Chantal.

Cuaca panas tidak halang Chantal pakai tudung

Roti canai merupakan antara makanan kegemarannya selain nasi berlauk ayam, laksa dan laici kang.

Bagi pemilik warung, Mohd Sallehuddin Shaari, kehadiran Chantal di warungnya memberi daya penarik.

Tambah Sallehuddin, Chantal juga rajin dan tidak kekok semasa bekerja.

Menurut Presiden AFS, Antarabudaya Malaysia, cawangan Kedah, Rohaya Md Yusoff, Chantal adalah seorang daripada lima pelajar asing yang mengikuti program pertukaran pelajar di Kedah.

Program itu adalah untuk pertukaran pelajar sekolah berusia antara 15 hingga 18 tahun yang datang ke negara untuk tempoh setahun.

Dalam program itu mereka akan tinggal dengan keluarga angkat dan mengikuti persekolahan di sekolah menengah yang berdekatan.

Respon di media sosial terhadap Chantal juga agak positif.

Orang ramai mendoakan Chantal akan memeluk agama Islam hasil pendedahan budaya di negara ini.