TAIPING: Aspek kebajikan dan kesihatan haiwan di Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) di sini sentiasa dipantau bagi mengelakkan ia terdedah strok haba, khususnya ketika negara dilanda cuaca panas melampau.

Pengarah ZTNS, Muhamad Ridhwan Affendi berkata, haiwan juga boleh terkena strok haba sama seperti manusia, namun katanya setakat ini tiada kes berkenaan berlaku di situ.

"Kita (negara) dilanda cuaca yang panas melampau, macam di Taiping saya lihat ada hari cecah sampai 39 darjah Celsius.

"Tapi alhamdulillah di Zoo Taiping ini terletak di kawasan yang sesuai iaitu di kaki Bukit Larut dan dikelilingi Taman Tasik Taiping.

"Daripada segi kebajikan haiwan pula sentiasa terjaga, setiap pameran haiwan akan sentiasa ada air dan saya juga mengeluarkan arahan khas untuk pastikan petugas zoo periksa paras air di bekas minuman haiwan.

"Selain itu sesetengah haiwan pula kita mandikan ketika cuaca panas contohnya gajah, setakat ini tiada haiwan yang terdedah dengan strok haba," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program 'Let’s Nurture the Nature’ sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di sini pada Isnin.

Katanya lagi, bersempena sambutan tahun ini, ZTNS dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) meraikannya bersama 20 pelajar daripada Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Kampung Boyan, Taiping dengan tema program 'Let’s Nurture the Nature'.

"Antara pengisian yang dijalankan hari ini adalah Program Penanaman 21 batang Anak Pokok Kelat Paya Merah atau nama saintifiknya syzygium sinubanense, sesi zoo tour dan animal feeding," katanya.

Selain itu turut diadakan sesi penanaman anak pokok dengan menggunakan tanah baja organik melalui pekomposan tinja haiwan.

‘Compost from animal dung’ merupakan produk yang dihasilkan dan diperkenalkan oleh ZTNS dan MPT bagi projek inovasi dan kreatif.

Jelasnya lagi, penggunaan tanah baja organik itu mengunakan campuran tinja haiwan dalam membantu mengurangkan kos penyelenggaraan seperti kos pelupusan sisa tinja haiwan yang melibatkan tenaga kerja serta logistik, selain mengurangkan pengumpulan tinja di tapak pelupusan.