BUTTERWORTH: Seorang penunggang motosikal yang cuba melarikan diri ketika sekatan jalan raya di susur masuk Jambatan Pulau Pinang malam tadi, didapati positif dadah jenis ganja.

Pemuda berusia 28 tahun itu, pada mulanya memberi alasan dia bertindak sedemikian kerana mendakwa motosikal ditunggang itu milik pelanggannya dan bimbang ditahan kerana kenderaan itu tidak mengikut spesifikasi.

Malah, dia juga dilihat cuba mengelak ketika diminta memberikan sampel urin, kononnya sukar untuk kencing, namun akhirnya terpaksa akur dan hasil saringan awal yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), mendapati lelaki itu positif ganja.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang Zulkifly Ismail berkata pemuda itu, antara ditahan menerusi Ops Motosikal yang dijalankan selama tiga jam berakhir 11 malam tadi, dengan menumpukan terhadap penguatkuasaan dalam mengurangkan kadar kemalangan dan kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Beliau berkata selain positif dadah, pihaknya turut menyita motosikal ditunggang pemuda itu selepas didapati membuat pengubahsuaian dan nombor plat tidak mengikut spesifikasi, serta tiada cermin sisi.

"Dalam operasi ini, kita turut menyita motosikal ditunggang lelaki kurang upaya pendengaran dan pertuturan berusia 35 tahun atas tiga kesalahan, iaitu tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada insurans.

"Tindakan sama diambil ke atas sebuah motosikal milik penunggang p-hailing, berikutan tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di atas jalan raya apabila ia diubah suai secara ekstrem, hingga tiada brek belakang selain tayar belakang yang digunakan bersaiz kecil," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi tersebut.

Zulkifly dalam pada itu berkata penguatkuasaan khas itu, dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), AADK, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak konsesi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Beliau berkata sebanyak 453 motosikal telah diperiksa, dengan 135 daripadanya diambil tindakan membabitkan 181 notis saman, selain tindakan sita ke atas 13 kenderaan atas pelbagai kesalahan.

Sementara itu, menerusi Ops Khas bagi tempoh bulan perayaan tahun 2024 dari 1 hingga 7 Feb lepas, sebanyak sebanyak 7,691 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, 1,175 diambil tindakan dengan 2,221 notis saman dikeluarkan manakala 108 lagi telah disita.

"Penguatkuasaan yang dibuat secara berterusan ini, diharap dapat meningkatkan tahap kesedaran masyarakat untuk mematuhi undang-undang dan peraturan, bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya," katanya.

-- BERNAMA