BUKIT KAYU HITAM : Pelbagai helah digunakan oleh penyeludup ketum untuk menghantar daun itu ke negara jiran susulan kawalan ketat menerusi Op Benteng oleh pihak berkuasa di sempadan.

Terbaharu, penyeludup dikesan menggunakan kenderaan perdagangan sebagai taktik mengaburi agensi penguatkuasaan.

Bagaimanapun helah itu berjaya dihidu sepasukan anggota Batalion 1, Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta, Perak apabila merampas lebih tiga tan daun ketum yang dipercayai cuba diseludup dari Padang Terap, Rabu malam.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 1 PGA Hulu Kinta, Deputi Superintendan Ayob Ismail berkata, pasukan risik Kompeni ‘D’ Batalion terserempak dengan lori yang dipandu lelaki berusia 30-an itu dalam keadaan mencurigakan pada jam 11.45 malam.

Beliau berkata, pasukan risik kemudian mengarahkan pemandu lori itu memberhentikan kenderaannya.

Hasil pemeriksaan di belakang lori itu menemui sejumlah besar beg plastik berwarna hitam di mana di dalamnya mengandungi daun ketum.

Katanya, modus operandi mereka sekarang ialah menggunakan kenderaan perdagangan iaitu lori untuk menyeludup daun ketum.

“Modus operandi sekarang, (untuk) ketum dulu kita pakai askar semut sekarang dia lebih mengunakan kenderaan perdagangan sebab permintaan tinggi daripada (pembeli) di Thailand,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di Bukit Kayu Hitam, pada Khamis.

Ayob berkata, anggota risik kemudian menahan pemandu lori yang berasal dari Kuala Kedah itu sementara daun ketum itu dibawa ke pejabat PGA Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati berat daun ketum itu dianggarkan lebih tiga tan bernilai RM96,000.

Keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan bernilai sebanyak RM146,000.