Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) belum menerima maklum balas daripada kerajaan mengenai tuntutannya agar menubuhkan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan (MPGK) sejak Disember tahun lalu.

Presidennya Datuk Azih Muda mahu penubuhan MPGK dipercepatkan bagi memudahkan perbincangan di antara Cuepacs dan kerajaan mengenai isu-isu berbangkit berkaitan penjawat awam di seluruh negara.

"Cuepacs tidak menggunakan pendekatan dengan memberi tekanan kepada kerajaan kerana kami (Cuepacs) percaya proses perundingan lebih penting agar ia lebih berjaya dan meyakinkan. Ini kerana dengan menggunakan tekanan, ia tidak akan menguntungkan sesiapa," katanya kepada pemberita pada majlis Jalinan Kasih Silaturahim Aidilfitri Cuepacs di Pusat Konvensyen CIDB, dekat sini hari ini.

Beliau berkata penubuhan MPGK itu juga sebagai laluan kepada kedua-dua pihak untuk mengadakan perbincangan mencari jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang dihadapi oleh penjawat awam di negara ini.

Katanya beban tugas yang semakin bertambah, kerja mengikut waktu dan bayaran kerja lebih masa yang hanya dibayar separuh merupakan antara masalah yang sering dihadapi oleh penjawat awam.

"Ini juga akan menimbulkan tekanan dalam kalangan penjawat awam. Kita mahu kerajaan melihat semula isu ini. Sebab itulah Cuepacs membangkitkan semula penubuhan MPGK," katanya.

Pada 20 Dis tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan konvensyen kongres tritahunan Cuepacs ke-27 berkata tuntutan Cuepacs itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.

Dalam pada itu, Azih juga berharap pembentangan Belanjawan 2018 akan turut mengambil kira kepentingan penjawat awam dalam isu-isu yang telah dibangkitkan sebelum ini dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

"Apatah lagi negara yang akan menuju kepada dua fasa iaitu wawasan 2020 yang semakin hampir dan Transformasi Nasional 2050 (TN50) iaitu 30 tahun selepas itu, apakah langkah kita untuk mencapai matlamat itu. Oleh sebab itu, pengukuhan institusi kerajaan perlu dibuat," katanya.

Sementara itu, Azih berkata Cuepacs juga akan menghantar surat dalam tempoh terdekat ini kepada kerajaan agar penjawat awam yang bekerja tetap diberi perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Katanya pada masa kini hanya pekerja swasta dan penjawat awam yang belum disahkan dalam jawatan diberi perlindungan Perkeso.

-- BERNAMA