Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan supaya kerajaan menyemak semula gaji penjawat awam setiap lima tahun sekali.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata ini kerana gaji semasa penjawat awam khususnya kumpulan sokongan hanya mampu dibelanja untuk tempoh dua minggu termasuk pembayaran bil-bil utiliti, pembetungan, telefon dan makan minum di rumah.

Katanya kajian Cuepacs menunjukkan seorang pekerja memerlukan pendapatan sebanyak RM2,640 sebulan manakala bagi yang berkeluarga pula RM4,200 untuk menampung kos sara hidup di Lembah Klang pada masa kini.

"Untuk simpan (duit) bagi tujuan pendidikan anak sudah tidak mencukupi. Kalau hantar anak ke nurseri bertambah tanggungannya. Oleh sebab itu, kerajaan perlu melihat pentingnya gaji penjawat awam disemak setiap lima tahun sekali dan ukur produktiviti mereka.

"Cuepacs harap kerajaan dapat menimbangkan kenaikan gaji kerana ia akan membantu penjawat awam yang 'lemah' pendapatannya," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen Tritahunan Cuepacs ke-28 di sini, pada Selasa.

Berhubung konvensyen selama tiga hari bermula hari ini itu, Azih berkata pelbagai resolusi bakal dikemukakan antaranya berkaitan gaji, kos sara hidup, harga barangan, perumahan, pendidikan dan perubatan.

Katanya, kesemua aspek tersebut merupakan cabaran yang sedang dihadapi oleh penjawat awam masa kini.

-- BERNAMA