Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan untuk mengkaji dan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan daripada empat peratus kepada satu peratus.

Presiden CUEPACS, Azih Muda ketika ditemui di Kangar berkata, perkara itu perlu diteliti kerajaan memandangkan penjawat awam juga menghadapi kesempitan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau turut berkata, selain cadangan kerajaan untuk membina sejuta unit rumah, pihak kerajaan perlu menilai nilai faedah berkaitan pinjaman perumahan yang dilihat membebankan.

Justeru itu, CUEPACS mendesak supaya kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan semasa yang kini pada tahap empat peratus kepada satu peratus sahaja bagi mengurangkan beban yang ditanggung penjawat awam.

“CUEPACS menyarankan kepada kerajaan selain daripada kerajaan bercadang untuk membina sejuta rumah tetapi kerajaan juga kena pertimbangkan supaya kadar faedah perumahan ini dikurangkan daripada empat peratus kepada satu peratus dan CUEPACS memohon supaya kerajaan mengkaji semula dasar untuk mengecilkan saiz perkhidmatan serta mengecilkan perkhidmatan awam yang ada sekarang ini,” kata Azih.

Beliau ditemui selepas taklimat dan dialog bersama anggota perkhidmatan awam di Dewan Warisan, Kangar yang dihadiri oleh 500 penjawat awam negeri itu.

Dalam pada itu, beliau turut berkata CUEPACS juga ingin mendesak supaya kerajaan menilai semula dasar pengecilan jabatan bagi mengurangkan bilangan penjawat awam kerana dasar itu dilihat tidak relevan dan boleh menjejaskan produktiviti.

Katanya, Dasar Pengecilan Jabatan dan juga Dasar Perjawatan Kejar adalah bertentangan dengan dasar rakyat didahulukan kerana proses itu boleh mengurangkan produktiviti.

Azih berkata dasar itu akan memberi impak yang negatif kepada sesetengah jabatan kerana akhirnya terpaksa melantik pegawai kontrak.

Pelantikan pegawai kontrak katanya tidak dapat menyelesaikan masalah tambahan, pula boleh menjadi liabiliti kepada kerajaan.