MALAYSIA
CUEPACS lega, tiada pekerja diberhentikan

CUEPACS lega, tiada pekerja diberhentikan - Gambar Fail
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) hari ini menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak memberhentikan mana-mana penjawat awam, termasuk lantikan secara kontrak.
Presidennya, Datuk Azih Muda memberitahu, keputusan ini membuktikan kerajaan serius dalam menjaga kebajikan penjawat awam.
"Banyak mesej yang diviralkan dalam media masa dan elektronik berkenaan isu penjawat awam. Tapi bila PM dah umumkan, tiada yang diberhentikan kita amat bersyukur dan lega dengan keputusan ini.
"Kerajaan sangat prihatin kepada nasib penjawat awam, begitu juga dalam perkhidmatan kontrak.
"Malah, inisiatif satu kenaikan gaji tahunan kepada 1.6 juta penjawat awam pada 1 Julai tahun ini disambut baik," katanya kepada Astro AWANI.
Tambah Azih, komitmen kerajaan ini perlu disambut dengan komitmen bersungguh-sungguh penjawat awam.
"Apa yang boleh dijanjikan kepada kerajaan kini ialah komitmen bersungguh-sungguh untuk meningkatkan produktiviti melalui perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat," tambahnya.
Namun, Azih turut meluahkan rasa bimbang berkaitan pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bermula Mac ini.
"Pengurangan caruman ini kami risau simpanan menjadi kurang. Lagipun wang simpanan inilah harapan untuk perbelanjaan di hari tua nanti.
"Bayangkan, dengan kehilangan tiga peratus simpanan, kita bimbang ia tak mampu membiayai kehidupan tua pekerja nanti.
"Kami harap ada sumber lain untuk simpanan hari tua yang akan diperkenalkan kerajaan bagi mengelak masalah baru di masa depan," tambahnya.
Perdana Menteri juga menegaskan, Kerajaan tidak akan memberhentikan mana-mana penjawat awam, termasuk lantikan secara kontrak.
Malah, Kerajaan bersetuju untuk mengurangkan potongan caruman KWSP pekerja sebanyak 3 peratus mulai Mac 2016 sehingga Disember 2017. Akan tetapi,caruman majikan dikekalkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami