ALOR SETAR: Kira-kira 30,000 penjawat awam masih belum mendaftar untuk menerima vaksin diminta akur dengan saranan kerajaan bagi membantu negara membentuk imuniti kelompok dengan lebih cepat.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat, berkata sikap itu amat mengecewakan kerana kakitangan kerajaan adalah pelaksana dasar kerajaan yang pastinya perlu terlebih dahulu mengamalkan dasar-dasar terbabit termasuklah berkaitan vaksin.

"Kami adalah pekerja kerajaan yang menerima arahan kerajaan yang menjalan dasar kerajaan yang mengurus semua perkara yang berkaitan degan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

"Sudah tentu secara umumnya sebagai pekerja kerajaan hendaklah kakitangan patuh dengan arahan kerajaan, pekerja kerajaan yang perlu menjalankan tugas kerajaan ini hendaklah orang yang menerima dasar kerajaan jadi apabila kerajaan telah membuat vaksinasi ini dan mengarah untuk divaksinkan justeru itu mereka perlu divaksin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan tiga unit respirator pembersih udara berkuasa (PAPR) kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), hari ini.

Hadir bagi menerima sumbangan itu Timbalan Pengarah Perubatan HSB, Dr Siti Norhani Mazrah Khalid.

Mengulas lanjut, Adnan, berkata ketua jabatan juga turut perlu memainkan peranan untuk memantau dan memastikan setiap penjawat awam di bawah seliaannya menerima suntikan vaksin.

Katanya, dalam masa yang sama, penjawat awam yang belum mendaftar boleh secara terus mengambil suntikan vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) di setiap daerah.

Menurutnya, hasil kajian mendapati ramai diantara penjawat awam yang tidak mendaftar adalah mereka yang bekerja dari rumah (BDR), mereka yang mempunyai penyakit atau alahan tertentu.

Sementara itu, Dr Siti Norhani, berkata hampir 400 katil atau 36 peratus daripada 1,108 katil pesakit di HSB digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 44 katil adalah untuk pesakit COVID-19 yang kritikal di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.

Ramai antara mereka pesakit kategori empat dan lima dan juga orang muda yang berusia antara 20 dan 30 tahun

Malah ada diantara mereka yang belum lengkap vaksin dan ada juga yang sudah lengkap vaksin tetapi belum cukup tempoh 14 hari.