KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyokong penuh langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewajibkan semua pegawai perkhidmatan awam di peringkat Persekutuan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Presidennya Adnan Mat berkata semua penjawat awam perlu akur dengan langkah tersebut bagi memulihkan kembali negara yang terkesan dari sudut ekonomi dan sosial.

Beliau memaklumkan tempoh masa yang diberikan hingga 1 Nov ini bagi penjawat awam yang belum mendapatkan vaksin COVID-19 juga adalah munasabah untuk melengkapkan vaksinasi melalui Pusat Pemberian Vaksin dibuka kerajaan.

"CUEPACS sekali lagi ingin menegaskan bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan ini bukanlah bertujuan untuk menghukum kerana telah banyak ruang dan peluang diberikan sepanjang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilancarkan.

"Kita adalah pekerja kerajaan yang menerima arahan kerajaan dan melaksanakan dasar kerajaan yang mengurus semua perkara berkaitan dengan penyampaian perkhidmatan kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata semua ketua jabatan perlu mengambil maklum arahan terbaharu ini dan menyampaikan maklumat berkenaan kepada kakitangan yang masih belum divaksin selain turut mengingatkan semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

"Sebagai penjawat awam, kita perlu akur dengan arahan ini memandangkan penjawat awam adalah jentera pentadbiran kerajaan yang menjadi pelaksana dan mendukung segala dasar dan polisi kerajaan.

"Pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam ini mampu memberikan keyakinan dan jaminan seterusnya melancarkan urusan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat," katanya.

Terdahulu, JPA memaklumkan semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan diwajibkan mengambil vaksin COVID-19 bagi memberi keyakinan dan jaminan kepada orang awam dalam memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Menurut JPA, peratusan pegawai awam Persekutuan yang mengambil vaksin telah mencapai hampir 98 peratus, manakala kelompok yang masih belum mendaftar untuk divaksin adalah kecil iaitu hanya 1.6 peratus melibatkan 16,902 orang.

-- BERNAMA