ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan pembabitan kerajaan negeri serta syarikat yang diberikan lesen eksplorasi untuk mengkaji hasil unsur nadir bumi (REE) terlibat dalam kegiatan mencuri mineral berkenaan di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Menurut beliau, sehingga kini, kerja-kerja eksplorasi mineral berkenaan masih belum dilaksanakan memandangkan prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli belum dikeluarkan.

Tegasnya, dakwaan kerajaan negeri terlibat dengan bersubahat dalam kegiatan berkenaan adalah tidak benar memandangkan plot tanah yang terbabit berbeza dengan kawasan yang diberi kebenaran sebelum ini.

Sanusi turut menafikan dakwaan tidak wujud pemantauan daripada pihak bertanggungjawab termasuk agensi-agensi berkaitan sebelum ini.

Beliau memaklumkan, terdapat beberapa projek membabitkan Menteri Besar Incorporated (MBI) di kawasan hutan berkenaan termasuk ladang hutan yang diluluskan pada 2017 bagi tanaman spesis Albizia Falcatria dan Musang King.

"Saya tidak fikir jabatan kerajaan ada terlibat. Kawasan itu saya dimaklumkan di luar kawasan yang diplot... yang dibenarkan kepada syarikat yang jalinkan usaha sama (JV) dengan MBI.

"Ada orang kata pasal ada signboard MBI di pintu masuk itu... bukan (bermakna) MBI terbabit.

"Ada plot MBI (buat usaha sama) JV dengan satu syarikat (untuk) buat ladang solar... di jalan masuk yang sama... ada juga usaha sama MBI (dengan syarikat yang diberikan lesen) buat teroka REE... tiga projek MBI di situ... (semua) tidak terlibat dengan pencurian yang berlaku ini.

"Kita pun tidak tahu siapa, kita serah pihak berkuasa untuk siasat, polis ada, SPRM ada, jabatan tanah ada, jabatan hutan ada, semua ada, undang-undang yang mereka kuat kuasakan, ambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada," katanya.

Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan penutupan Program Jelajah Kedah Sejahtera, di Masjid Nurul Ihsan, Langgar pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Besar Kedah itu mengesahkan lokasi dipercayai tapak perlombongan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang diserbu pihak berkuasa.

Menurutnya, serbuan tersebut membawa kepada rampasan 185 guni bahan mineral tersebut dalam sebuah lori yang diambil secara haram di hutan terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini belum dapat dipastikan sama ada mineral yang dirampas itu merupakan REE atau bahan lain kerana proses kajian dan siasatan menyeluruh sedang dilakukan.

Pada Selasa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mengesahkan sedang melakukan siasatan awal berhubung dakwaan berlaku kecurian REE di Hutan Simpan Bukit Enggang.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, pihaknya mengambil inisiatif menjalankan siasatan awal bagi mengesahkan sama ada terdapat isu pelanggaran undang-undang berkaitan bawah bidang kuasa SPRM.

Menurutnya, penguat kuasa SPRM telah pun meninjau lokasi yang didakwa berlakunya operasi mengeluarkan REE di kawasan terlibat, namun butirannya tidak dapat didedahkan buat masa ini.