IPOH: Polis Perak berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM49 juta di seluruh negeri, sepanjang Januari hingga September tahun ini.

Pada masa sama, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik berjaya membongkar lapan buah makmal haram dadah dan menahan 21 orang yang terlibat.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, secara keseluruhan seramai 10,578 orang pesalah dadah ditangkap di negeri ini tahun ini.

"Bagi tangkapan pengedaran dadah sepanjang Januari hingga September 2023, seramai 1,891 orang ditangkap atas berbagai kesalahan mengedar dadah.

"Ia peningkatan sebanyak 23 kes, berbanding 1,868 orang pada 2022.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 559 orang ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

"Seramai 76 orang ditangkap di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

"Kebanyakan mereka ini merupakan dalang ataupun perancang serta ‘financier’ dalam sindiket yang telah ditumpaskan pada tahun 2023," katanya.

Azizi ditemui selepas merasmikan majlis pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Menurutnya, 8,611 orang telah ditangkap kerana memiliki dadah, peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding tahun lalu.

Tambahnya, sebanyak 5,117 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Racun, di mana 4,908 atau 96 peratus telah dituduh di mahkamah.

Dalam masa sama, kata beliau, harta benda, seperti rumah, tanah, barang kemas, kenderaan dan akaun bank bernilai RM7.5 juta milik pengedar dadah telah disita di bawah Akta Perlucutan Harta 1988.

Pada majlis itu, Azizi menyerahkan pelbagai jenis dadah bernilai RM2.1 juta kepada Syarikat Pelupusan Sisa Pepejal Kualiti Alam Sdn Bhd untuk dilupuskan.

Jumlah dadah itu membabitkan 3,706 kertas siasatan dari tahun 2007 hingga 2023 bagi kes yang telah selesai perbicaraan.