Skip to main content

Malaysia

Dadah ditemui dalam lokap Balai Polis Lumut, konstabel bersama dua OKT ditahan

Sumber: Astro AWANI
Mohd Alwi menunjukkan dadah yang ditemui dalam lokap Balai Polis Lumut. - Astro AWANI 
Advertisement

IPOH: Seorang anggota polis berpangkat Konstabel dan dua orang kena tuduh (OKT) ditahan ekoran penemuan pelbagai jenis dadah di lokap Balai Polis Lumut, Manjung pada Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, tangkapan dan rampasan itu dibuat ketika pemeriksaan rutin di lokap berkenaan, kira-kira jam 8.30 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan tersebut polis telah menahan dua lelaki yang merupakan OKT dan merampas sejumlah dadah disyaki terdiri daripada methamphetamine, heroin dan kanabis.

“Yang pertama 16 bunjut tiub plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 109.54 gram.

“Yang kedua, 16 bunjut plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 110.37 gram.

“Dan yang ketiga 23 bunjut tiub plastik mengandungi daun-daun kering disyaki dadah jenis kanabis dengan anggaran berat 142.31 gram,” katanya dalam sidang media sempena majlis pelupusan barang kes narkotik di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM18,534.

Menurut Mohd Alwi, susulan penemuan itu, polis turut menahan seorang anggota polis berumur 30-an berpangkat Konstabel yang bertugas di Balai Polis Lumut bagi membantu siasatan.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua OKT yang berumur 40an positif dadah jenis methamphetamine manakala anggota polis negatif dadah.

Kesemua tangkapan direman selama tujuh hari mulai 12 hingga 18 Ogos ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui bagaimanapun dadah tersebut boleh dibawa masuk ke dalam lokap serta sumber bekalannya. 

 

 

Must Watch Video

Advertisement