PUTRAJAYA: Daerah Petaling di Selangor mencatatkan bilangan penduduk tertinggi pada 2023 dengan 2.3 juta orang, demikian menurut Anggaran Penduduk Semasa, Daerah Pertadbiran 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Daerah lain yang mencatatkan bilangan penduduk tertinggi ialah Johor Bahru, Johor dengan 1.8 juta dan Ulu Langat, Selangor 1.5 juta, kata DOSM dalam satu kenyataan pada Selasa.

"Daerah Petaling juga mempunyai kepadatan penduduk tertinggi dengan 4,783 orang bagi setiap kilometer persegi, diikuti oleh Timur Laut, Pulau Pinang (4,710 orang) dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang (1,845 orang)," katanya.

Menurut kenyataan itu, terdapat lapan daerah dikategorikan daerah menua kerana mempunyai lebih tujuh peratus penduduk berumur 65 tahun dan lebih pada tahun ini.

Daerah itu ialah Johor Bahru di Johor, Kota Bharu dan Kuala Krai di Kelantan, Seberang Perai Utara dan Barat Daya (Pulau Pinang), Kota Kinabalu (Sabah), Miri (Sarawak) dan Ulu Selangor (Selangor).

Lubok Antu di Sarawak mempunyai penduduk tua tertinggi dengan 14.4 peratus, diikuti Sri Aman (12.8 peratus) dan Song (11.9 peratus), yang masing-masing terletak di Sarawak.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menetapkan tiga kategori penuaan iaitu masyarakat menua, komuniti berusia dan masyarakat paling tua, masing-masing merujuk kepada penduduk berumur 65 tahun dan lebih mencecah tujuh peratus, 14 peratus dan 20 peratus.

Berdasarkan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) pula, penuaan ialah apabila penduduk berumur 60 tahun dan lebih mencecah 15 peratus daripada jumlah penduduk.

Menurut DOSM, Kalabakan, Sabah mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi pada 13.4 peratus, diikuti Semporna, Sabah (11.7 peratus ) dan Kunak, Sabah (11.5 peratus).

Bukit Mabong, Sarawak pula merekodkan jumlah penduduk terendah dengan 10,400, diikuti oleh Song (10,000) dan Tanjung Manis (7,900) yang juga di Sarawak.

Tiga daerah di Sarawak mencatatkan bilangan penduduk warganegara tertinggi pada 2023 iaitu Julau (99.9 peratus), diikuti oleh Song (99.7 peratus) dan Pakan (99.7 peratus) manakala Sabah pula mempunyai peratusan penduduk bukan warganegara terbesar iaitu di Kinabatangan (70.6 peratus), Kalabakan (66.5 peratus) dan Kunak (53.2 peratus).

Perempuan melebihi lelaki terdapat di 13 daerah iaitu Muallim, Perak dengan nisbah jantina 92 lelaki bagi setiap 100 perempuan, Samarahan, Sarawak (94); Bachok, Kelantan (94); Song (95); Saratok, Sarawak (97), Kubang Pasu, Kedah (97), Julau, Sarawak (98), Tumpat (98); Pasir Puteh, Kelantan (98); Kuala Nerus, Terengganu (99), Kanowit, Sarawak (99), Machang, Kelantan (99) dan Kota Setar, Kedah (99).

Daerah Setiu di Terengganu mempunyai komposisi bumiputera tertinggi dengan 99.7 peratus diikuti Nabawan, Sabah (99.6 peratus) dan Hulu Terengganu, Terengganu (99.4 peratus), manakala, komposisi Cina tertinggi direkodkan di daerah Timur Laut, Pulau Pinang dengan 63.9 peratus, Kampar, Perak (48.3 peratus) dan Sibu, Sarawak (48.2 peratus).

Bagi etnik India pula, komposisi tertinggi dicatatkan di Bagan Datuk, Perak, diikuti oleh Klang, Selangor dan Port Dickson, Negeri Sembilan dengan masing-masing 23.2 peratus, 18.8 peratus dan 18.4 peratus.

Komposisi penduduk berumur 0 hingga 14 tahun (umur muda) tertinggi dicatatkan di tiga daerah di Kelantan iaitu Kecil Lojing (35.3 peratus) diikuti Gua Musang (34.7 peratus) dan Tumpat (33 peratus).

Sementara itu, daerah Sebauh di Sarawak mencatatkan peratusan penduduk berumur 15 hingga 64 tahun (umur bekerja) tertinggi dengan 80.2 peratus, diikuti Kinabatangan, Sabah (78.6 peratus) dan Belaga, Sarawak (78.3 peratus).

-- BERNAMA