BALIK PULAU: Semua anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, jabatan dan agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah supaya mempertingkat pemantauan terhadap pelaksanaan projek pembangunan di Pulau Pinang bagi memastikan ia berjalan mengikut jadual.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu perlu diberi perhatian khusus bagi memastikan setiap projek yang dirancang dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Susulan jelajah dan pemantauan media yang dilakukan, saya akan mengarahkan kerajaan negeri, semua exco dan agensi kerajaan termasuk majlis bandar raya untuk mempertingkatkan pemantauan pelaksanaan projek atau mempercepatkan pelaksanaan projek yang belum dimulakan.
“Bagi projek yang sedang dilaksanakan pula, pemantauan rapi perlu dilakukan untuk memastikan pencapaian kerja mengikut jadual,” katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi tinjauan mesra di Pasar Pagi Balik Pulau di sini sempena Program Jelajah Ketua Menteri yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.
Beliau berkata, pelbagai faktor boleh mempengaruhi perjalanan sesuatu projek dan menyebabkan kelewatan sekiranya tidak ditangani dengan segera.
Menurut beliau, kejayaan menyiapkan projek pembangunan mengikut jadual bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, malah mampu meningkatkan daya saing negeri serta memperkukuhkan ketahanan Pulau Pinang dalam menghadapi cabaran seperti perubahan iklim.
Sehubungan itu, beliau berharap setiap exco dapat memimpin jabatan di bawah portfolio masing-masing dengan lebih proaktif bagi memastikan projek pembangunan kerajaan negeri dilaksanakan mengikut perancangan.
“Rakyat amat prihatin dan tidak akan berdiam diri untuk menyuarakan isu berkaitan projek yang lambat atau projek sakit. Jadi di peringkat kita (kerajaan negeri) dalam separuh kedua penggal kami, fokus kepada pemantauan dan pelaksanaan mengikut jadual amat penting bagi memastikan prestasi kerajaan negeri terus berada pada tahap yang menggalakkan.
“Dalam mesyuarat exco akan datang, saya akan memberi peringatan kepada kerajaan negeri dan semua agensi termasuk exco yang bertanggungjawab untuk melaksanakan apa yang saya katakan tadi,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan menyiapkan projek pembangunan mengikut jadual bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, malah mampu meningkatkan daya saing negeri serta memperkukuh ketahanan Pulau Pinang dalam menghadapi cabaran seperti perubahan iklim.
Kon Yeow dalam pada itu menjelaskan, faktor menyebabkan kelewatan projek lazimnya berpunca daripada pelbagai isu teknikal termasuk kelemahan pada peringkat kajian awal yang menyebabkan beberapa masalah tidak dapat dikenal pasti secara menyeluruh sebelum projek dilaksanakan.
“Bagaimanapun, ia bukan masalah yang membimbangkan. Paling penting kita mahu memastikan projek berjalan mengikut jadual dan rakyat dapat melihat sendiri kemajuan yang dicapai,” katanya.
-- BERNAMA