KUCHING: Rakyat Sarawak kini boleh mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 secara percuma, kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, pendaftaran itu boleh dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera di telefon bimbit masing-masing.

Menurutnya, bagi rakyat Sarawak yang tidak mempunyai aplikasi itu, mereka boleh menghubungi klinik kesihatan dan pejabat daerah berdekatan.

"Kami kini membuka pendaftaran vaksin COVID-19. Ada dua cara pertama boleh mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau pergi ke klinik kesihatan dan pejabat daerah," katanya elepas melawat pusat operasi bagi COVID-19 di Kampung Sungai Maong dan Taman Univista yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pada Sabtu.

Selain itu, Uggah menasihatkan orang ramai agar tidak mendaftar menerusi pihak luar yang mendakwa membantu proses pendaftaran kerana dikhuatiri disalah guna.

Uggah turut menasihatkan penduduk di pedalaman agar berhubung dengan ketua kaum atau ketua masyarakat sekiranya memerlukan penjelasan lebih lanjut.

"Saya berharap semua rakyat Sarawak mendaftar untuk program vaksinasi ini yang dijangka bermula hujung bulan melibatkan tiga fasa.

"Program vaksinasi sangat penting dalam usaha kita melindungi diri kita serta menghentikan atau mengawal penyebaran jangkitan. Apabila kita dapat melindungi diri kita sendiri, kita juga dapat melindungi keluarga dan masyarakat kita sekali gus dapat kembali kepada rutin biasa kita,” katanya.

Beliau pada masa yang sama berharap rakyat tidak terpengaruh dengan maklumat palsu di media sosial mengenai vaksin tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatannya ke dua bilik operasi berkenaan, Uggah menyifatkan operasi kawalan pergerakan dilakukan dengan baik.

"Kedua-dua, Residen Kuching dan Kota Samarahan, mereka sudah sangat berpengalaman dan masyarakat di kedua-dua tempat juga sangat bekerjasama. Satu yang menjadi kebimbangan kami ialah mengenai pengagihan makanan. Namun nampaknya ia juga dilakukan dengan baik," katanya.

Kira-kira 375 individu terdiri daripada 65 rumah dan 60 unit pangsapuri di Taman Univista menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula pada 17 Februari hingga 2 Mac.

Manakala di Kampung Sungai Maong, ia melibatkan kira-kira 829 orang terdiri daripada 182 keluarga.